27 Mei 2022, 11:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Dari 1 Januari 2022 hingga 25 Mei 2022, sebanyak 57 510 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) telah dilaporkan, yakni peningkatan sebanyak 24 kali ganda dalam tempoh yang sama berbanding dengan tahun 2021,” kata Menteri Kementerian Malaysia, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin dalam sidang media yang berlangsung, semalam.

Tambah beliau, perbandingan ini kurang sesuai kerana pada tahun 2021, pergerakan orang ramai agak kurang dan semua taska ditutup. Peningkatan kes ini berikutan pembukaan semua sekolah, tabika, tadika, dan taska serta peningkatan aktiviti sosial dan kebersihan diri tidak terjaga.

Secara puratanya, bilangan kes HFMD yang dicatatkan adalah antara 300 kes hingga 2000 kes sehari. Lima buah negeri yang mencatatkan kes tertinggi ialah Selangor (16 286 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (7298 kes), Perak (5045 kes), Kelantan (4194 kes), dan Sabah (3829 kes). Kes terbanyak dilaporkan melibatkan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, iaitu sebanyak 92 peratus kes, manakala kumpulan kanak-kanak berumur antara tujuh tahun hingga 12 tahun sebanyak tujuh peratus kes.

Menurutnya lagi, terdapat beberapa pelan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menurunkan kes HFMD di Malaysia. Yang pertama adalah dengan memutuskan rantaian transmisi dengan objektif untuk menurunkan kes mingguan kepada kurang daripada 800 kes. Yang kedua adalah dengan mengurangkan morbiditi dan mengelakkan kematian dalam kes HFMD.

“Selain itu, pelan tindakan seterusnya adalah dengan memperkukuh survelan, iaitu memastikan survelan (kes dan makmal) untuk merancang dan melaksanakan aktiviti pencegahan serta kawalan HFMD. Yang keempat adalah dengan memperkasakan komuniti melalui peningkatan pengetahuan, kesedaran dan amalan terhadap langkah pencegahan HFMD bagi mengurangkan risiko jangkitan. Pelan tindakan terakhir adalah dengan kerjasama multisektor, iaitu memperkukuh kerjasama dan kolaborasi antara kementerian dengan agensi kerajaan dan swasta,” katanya lagi.

Walaupun Malaysia masih belum menerima sebarang kes berkaitan dengan cacar monyet, KKM telah melakukan pelan tindakan bagi menghadapi risiko kemasukan jangkitan tersebut ke Malaysia. Objektif umum strategi ini adalah untuk mencegah kemasukan dan penularan jangkitan cacar monyet di Malaysia. Objektif khusus pula adalah untuk meningkatkan survelan cacar monyet bagi pengesanan kes dan rujukan segera untuk pengasingan, rawatan dan pemantauan serta melaksanakan aktiviti pencegahan, kawalan dan rawatan cacar monyet secara komprehensif bagi mengawal penularan jangkitan cacar monyet dalam komuniti.

Strategi pertama dalam pelan tindakan yang disediakan oleh KKM ialah pengesanan awal kes melalui pengukuhan aktiviti survelan di pintu masuk antarabangsa dan klinik atau hospital awam dan swasta. Antara langkah yang diambil ialah pengedaran garis panduan saringan pengembara kes cacar monyet di pintu masuk antarabangsa, pengeluaran kad amaran untuk pengembara dari negara berisiko bagi pemantauan kesihatan kendiri selama 21 hari dan pengumuman di penerbangan semasa pelepasan dan ketibaan berkaitan dengan penyakit cacar monyet. Kes yang disyaki cacar monyet akan dirujuk terus ke hospital. Survelan haiwan import turut dilakukan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Strategi kedua ialah memperkukuh diagnostik dengan memastikan keupayaan makmal untuk melakukan ujian pengesanan cacar monyet. Peningkatan kapasiti dan kapabiliti makmal, memperkukuh survelan zoonosis makmal dan memperkasakan pengurusan data makmal serta infrastruktur teknologi maklumat antara langkah utama yang diambil bagi menyokong strategi kedua ini.

Selain itu, strategi ketiga pula adalah dari segi pengurusan kes, iaitu mengurangkan morbiditi dan mortaliti kes yang dirawat di hospital melalui pemberian antiviral, kawalan infeksi dan pemberian vaksin kepada yang berisiko tinggi. Taklimat atau latihan diberikan kepada anggota kesihatan berdasarkan garis panduan pengurusan kes cacar monyet di Malaysia bagi memperkukuh strategi ketiga. Langkah lain yang akan dilaksanakan ialah kaunter saringan demam di klinik, pengenalpastian pesakit yang memenuhi definisi kes cacar monyet, pematuhan langkah pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit, pemberian antiviral kepada kes, pencegahan dan kawalan infeksi.

Strategi yang seterusnya ialah pengurusan kluster atau wabak melalui peningkatan keupayaan untuk pengesanan kontak rapat, pemberian vaksin kepada kontak rapat, penggunaan MySejahtera bagi digital Home Surveillance Order dan pemantauan status kesihatan. Kontak rapat akan dikuarantin di tempat kediaman selama 21 hari dan perlu melengkapkan aplikasi MySejahtera setiap hari. Di samping itu, kontak rapat yang bergejala akan dirujuk ke hospital untuk pengasingan dan pemeriksaan lanjut. Vaksinasi diberikan kepada kontak rapat untuk mengurangkan keterukan penyakit.

Strategi terakhir ialah meningkatkan pengetahuan dan kesedaran komuniti, iaitu memperkasakan komuniti melalui pendidikan kesihatan dan komunikasi risiko. Penyebaran info kesihatan berkaitan dengan cacar monyet kepada orang awam akan digiatkan melalui infografik soalan kerap tanya (FAQ) di media sosial KKM, slot radio, televisyen, pengumuman untuk pengembara dari negara yang melaporkan kes cacar monyet, siaran maklumat cacar monyet di pintu masuk antarabangsa dan amaran cacar monyet dipaparkan dalam MySejahtera untuk pengembara yang tiba dari negara yang melaporkan kes cacar monyet.

Di samping itu, libat urus bersama-sama agensi lain turut dijalankan melalui mesyuarat atau perbincangan dengan agensi berkaitan dan kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan yang menjaga kebajikan kumpulan berisiko tinggi untuk program meningkatkan kesedaran cacar monyet dalam kalangan ahlinya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.