Oleh Ruhana Hassan
10 Mei 2022, 15:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sarawak ialah negeri terbesar dalam Malaysia dan terletak di Pulau Borneo. Negeri ini mempunyai kepelbagaian flora dan fauna yang tinggi dan menjadikannya titik tumpuan biodiversiti atau biodiversity hotspot. Satu daripada fauna yang dikaitkan dengan Sarawak ialah buaya.

Terdapat dua jenis buaya di Sarawak, iaitu buaya tembaga atau buaya katak, (Crocodylus porosus) dan buaya jejulong (Tomistoma schlegelii). Buaya tembaga mudah dilihat di sungai sekitar Sarawak (air payau dan air tawar), tasik, kolam, kawasan pantai dan laut.  Buaya jejulong pula hanya mendiami persekitaran air tawar sahaja, iaitu di kawasan hulu sungai, paya gambut dan tasik seperti Tasik Loagan Bunut di Miri, Sarawak.

Buaya tembaga memiliki kepala yang besar dan mampat dengan muncung yang lebih lebar berbanding dengan buaya jejulong. Muncung buaya jejulong yang lebih panjang merupakan kelebihan fizikal yang memudahkan spesies ini menangkap pelbagai jenis ikan sebagai makanan utamanya. Buaya katak selalunya akan bertindak agresif apabila merasa terancam, mendapatkan makanan secara serang hendap haiwan lain dan mempunyai sifat melindungi wilayah yang didiaminya.

Buaya jejulong sangat sukar dilihat di habitat asal kerana sifatnya yang pemalu dan gemar bersembunyi di celah-celah tumbuhan air atau menyorok di bawah tumbuhan terapung di ekosistem air tawar serta persekitaran paya gambut. Mengikut rekod sejarah, hampir tiada kejadian membabitkan konflik antara buaya jejulong dengan manusia. Hal ini berkemungkinan besar disebabkan oleh sifat semula jadi spesies ini yang suka bersembunyi dan mengelak daripada berjumpa dengan manusia.

Di Sarawak, kajian saintifik mendapati bahawa wujudnya populasi kecil buaya jejulong di Sebuyau, Serian, Samarahan dan Miri. Analisa genetik menunjukkan populasi buaya jejulong liar di Sarawak mempunyai pertalian susur galur antara satu sama lain. Namun begitu, kepelbagaian genetik lebih tinggi direkodkan oleh populasi buaya jejulong yang mendiami sungai di Miri. Oleh sebab itu, usaha konservasi perlu ditingkatkan untuk memulihara spesies terancam ini.

Buaya tembaga lebih terkenal di Sarawak dengan panggilan Bujang Senang. Nama Bujang Senang berasal daripada nama yang diberikan kepada seekor buaya jantan yang sering menyerang orang awam sehingga mengakibatkan banyak kematian di sekitar Sungai Batang Lupar pada tahun lewat 1980-an. Bujang Senang telah ditembak mati pada tahun 1992 oleh pasukan tembak tepat Polis Diraja Malaysia dan sekumpulan pemburu Iban.

Konflik antara buaya dan manusia atau human-crocodile conflict (HCC) telah mula dicatatkan pada tahun 1900 lagi dan berterusan sehingga ke hari ini. Namun demikian, data menunjukkan bahawa HCC berada dalam jumlah yang masih terkawal. HCC memberikan impak negatif terhadap manusia kerana hal ini menganggu kehidupan harian serta mendatangkan rasa takut melampau atau gangguan kesihatan mental, terutamanya kepada mereka yang trauma akibat serangan buaya.

Pada era Rajah di Sarawak, iaitu pada tahun 1900 hinga tahun 1941, dilaporkan banyak HCC berlaku yang melibatkan buaya menyerang manusia. Manusia yang diserang buaya pada zaman tersebut kebiasaannya menemui ajal kerana tidak terdapat kemudahan hospital dan perubatan seperti hari ini. Akibatnya, ramai yang hidup dalam ketakutan memandangkan pada zaman tersebut kehidupan harian sangat bergantung dengan sungai untuk pengairan kebun pertanian, pengangkutan, melakukan aktiviti harian seperti mandi dan membasuh pakaian serta sebagai sumber air untuk memasak makanan dan minuman.

Pemerintah negeri Sarawak pada ketika itu memberikan hadiah lumayan berbentuk wang bagi sesiapa yang dapat membunuh buaya bagi mengawal bilangan buaya dalam sungai bagi mengelakkan peningkatan HCC. Selepas Perang Dunia Kedua, urus niaga berkaitan kulit buaya meningkat secara mendadak dan mencapai kemuncaknya pada tahun 1960-an. Peningkatan urus niaga ini berkait rapat dengan perniagaan mewah jual beli kulit buaya, lalu pemburuan buaya di sungai sekitar Sarawak berleluasa dan akhirnya mengakibatkan kepupusan spesies tersebut pada sekitar tahun 1980-an.

Pada tahun 1990, kerajaan Negeri Sarawak memperkenalkan Akta Haiwan Terlindung di Sarawak dan buaya tembaga serta buaya jejulong tersenarai dalam akta tersebut. Menurut akta ini, buaya tidak boleh dipelihara sebagai haiwan peliharaan, diburu, ditangkap, dibunuh atau diperdagangkan. Sesiapa yang disabitkan kesalahan, boleh dipenjara maksimum selama setahun atau didenda maksimum sebanyak RM10 ribu. Dengan adanya undang-undang ini, populasi buaya di Sarawak telah meningkat berlipat kali ganda, di samping kerja keras aktiviti pemuliharaan buaya yang dijalankan oleh agensi terbabit dan pihak bukan kerajaan (NGO). Keadaan ini kini mendatangkan cabaran yang baharu, iaitu HCC.

Pada era Millenial, Kerajaan Negeri Sarawak berusaha memohon menukarkan status buaya Sarawak daripada Lampiran I kepada Lampiran II dalam Perhimpunan Perdagangan Antarabangsa Bagi Spesies Haiwan dan Tumbuhan Liar yang Terancam (CITES). Setelah hampir lima tahun usaha ini dilakukan, penukaran status tersebut telah berjaya. Kini, buaya liar Sarawak boleh ditangkap dan didagangkan (eksport) tetapi memerlukan permit dari pihak berwajib demi menjaga populasi buaya. Hal ini untuk mengelakkan supaya buaya tidak bertukar status kepada haiwan terancam semula.

Di samping itu, penukaran status buaya ini juga telah membuka lebih banyak peluang kepada individu atau syarikat untuk mengusahakan akuakultur buaya. Pemburuan buaya secara komersial juga boleh dilakukan dengan kebenaran dan memberikan manfaat sosioekonomi kepada masyarakat tempatan.

Akuakultur merujuk membiak dan memelihara haiwan akuatik atau menanam tumbuhan akuatik bagi tujuan makanan, kegunaan domestik atau dijual secara komersial.  Akuakultur buaya boleh dijalankan di Sarawak kerana mempunyai sumber induk yang banyak dan sihat serta boleh diambil terus daripada populasi liar.

Di samping itu, telur buaya boleh diambil dari sarang buaya di tepi sungai dan seterusnya dieram dalam inkubator. Selepas 60 hari, telur tersebut akan menetas dan munculnya anak buaya. Anak- buaya tersebut boleh dipelihara sehingga besar dan matang bagi tujuan mendapatkan kulit, daging, telur dan organ.

Kulit buaya mempunyai nilai yang tinggi dan digunakan untuk membuat tas tangan, beg, kasut tali pinggang dan sebagainya. Daging dan telur buaya dikatakan mempunyai rasa yang enak apabila dihidangkan sebagai juadah. Organ dalaman buaya pula dijual di kedai tabib Cina kerana dikatakan mempunyai pelbagai khasiat dan menyembuhkan pelbagai penyakit misalnya asma.

Menyedari kepentingan buaya sebagai sumber asli negeri, Pelan Pengurusan Buaya Sarawak 2016 — 2020 diwujudkan. Kewujudannya pelan ini juga adalah bersempena dengan pertukaran status buaya Sarawak dalam CITES. Kini, pelan fasa kedua (2021 — 2025) sedang dibangunkan dengan mengambil kira kepadatan dan taburan buaya terkini di semua Lembangan Sungai di Sarawak kerana pemburuan buaya liar telah dibenarkan mulai tahun 2016.

 

Kajian mengenai buaya di lembangan sungai di Sarawak.

Kajian bagi menentukan kepadatan dan taburan buaya di lembangan sungai di Sarawak dijalankan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan kolaborasi kumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Sarawak.  Pelan Pengurusan Buaya Sarawak juga memberikan garis panduan bagi menangani HCC. Sebagai contohnya, menangkap buaya besar yang bertindak agresif di tempat awam dan menempatkannya semula di habitat semula jadi yang jauh daripada penempatan manusia atau di kawasan perlindungan buaya.

 

Selain itu, untuk mengurangkan HCC secara berterusan, masyarakat yang tinggal ditepi sungai atau persisiran pantai haruslah dididik untuk mempunyai kesedaran terhadap risiko bahaya haiwan liar ini. Mereka juga mesti mengambil langkah keselamatan yang sesuai daripada terjebak menjadi mangsa kepada buaya.

Buaya telah mendiami bumi semenjak zaman prasejarah. Haiwan ini mempunyai tahap kemandirian yang tinggi lalu dan agak mustahil untuk dilenyapkan dari muka bumi ini dengan sekelip mata sahaja. Buaya dan manusia akan sentiasa berkongsi ruang kehidupan yang sama. Buaya ialah haiwan liar dan mempunyai sifat yang diwarisi semula jadi liar dan tentunya tidak dapat dikawal oleh manusia. Namun begitu, manusia mempunyai kelebihan akal fikiran di samping memiliki daya kreativiti yang tinggi untuk mengawal keadaan dan meneruskan kehidupan lestari bersama-sama dengan buaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.