13 April 2022, 16:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Pelan Nano Negara merupakan dokumen sokongan utama bagi Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara (DSNN) 2021 – 2030 yang telah dilancarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada bulan November 2021. DSNN 2021 – 2030 mencerminkan komitmen MOSTI terhadap inisiatif baharu dalam memacu sains, teknologi dan inovasi serta memanfaatkan potensi nanoteknologi sebagai pemangkin ekonomi dan meningkatkan kualiti kehidupan seluruh Keluarga Malaysia,” kata Menteri MOSTI, Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Adham Baba dalam Majls Pelancaran Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021 – 2025 yang diadakan secara dalam talian hari ini.

Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Adham Baba dalam Majls Pelancaran Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025 yang diadakan secara dalam talian.

Menurut beliau, penyelidikan berkenaan dengan teknologi nano boleh disifatkan sebagai penemuan yang paling penting pada abad ini bagi menghasilkan pelbagai ilmu baharu. Nanoteknologi melibatkan kajian manipulasi dan kejuruteraan bahan pada skala nano dalam mana-mana dimensi. Baru-baru ini, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara.

MOSTI sangat menghargai sokongan jitu daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri terhadap potensi industri nanoteknologi tempatan.

Tambah beliau lagi, dalam tempoh lima tahun ini, industri nanoteknologi dijangka akan memberikan sebanyak 33 391 peluang pekerjaan untuk pelbagai peringkat dan dijangka menyumbang sebanyak RM151.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Mengulas dengan lebih lanjut tentang hal ini, antara usaha NanoMalaysia Berhad dalam mempergiat industi nanoteknologi ialah mempergiat penawaran khidmat nasihat dan sokongan kepada para usahawan yang mengeluarkan produk berasaskan nanoteknologi agar dapat memudahkan urusan usahawan untuk mendapatkan pengesahan persijilan nano. Promosi dan hebahan juga akan dilaksanakan bagi menerangkan kelebihan dan manfaat pengesahan persijilan nano ini. Pengesahan ini akan meningkatkan tahap keyakinan pengguna terhadap suatu produk nano yang berada dalam pasaran di dalam atau di luar negara.

Beliau juga mengumumkan bahawa MOSTI mengetengahkan tiga teras dalam Pelan Nano Negara bagi menyokong dan merancakkan industri nanoteknologi. Teras pertama ialah menyeragamkan pembangunan nanoteknologi Malaysia. Bagi memenuhi keperluan pasaran dalam lima tahun hingga 10 tahun akan datang, sebanyak empat sektor pelonjak yang terdiri daripada makanan dan pertanian, tenaga dan alam sekitar, peranti elektronik dan sistem serta kesejahteraan, perubatan dan penjagaan kesihatan.

Selain itu, teras kedua dalam Pelan Nano Negara ialah meningkatkan teknologi dan produk disokong oleh program intervensi dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Pada tahun 2020, terdapat lebih 80 peratus industri nanoteknologi dipelopori oleh pihak PKS. Industri ini dijajarkan dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021 – 2030 dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 bagi meningkatkan KDNK sebanyak 50 peratus, meningkatkan nilai dagangan sebanyak 30 peratus dan mencipta kira-kira 80 peratus peluang pekerjaan baharu.

Seterusnya, teras ketiga dalam Pelan Nano Negara ini ialah menjadikan Malaysia sebagai Hub Nanoteknologi Serantau. Berdasarkan data daripada Global Inc. pada tahun 2020, pasaran Asia Pasifik diunjurkan sebanyak USD$2.671 trilion pada tahun 2025. Teras ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai agensi dan kementerian lain. Oleh yang demikian, MOSTI akan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam usaha memasarkan produk nano dari Malaysia pada peringkat global.

 Industri nanoteknologi perlu dijajarkan dengan dasar dan hala tuju negara seperti Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara, Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 dan MySTIE 1010.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.