Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – “Kadar vaksinasi kanak-kanak di negeri Perlis yang berumur lima tahun hingga 11 tahun masih rendah, iaitu sebanyak 25.6 peratus. Bagi mengurangkan keterukan jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak, rakyat Perlis diseru agar membawa anak masing-masing menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) dan segera mendapatkan vaksin COVID-19 seperti yang telah ditetapkan,” titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-27 bagi tahun 2022 baru-baru ini.

Menurut DYTM Raja Muda Perlis, para majikan juga boleh membenarkan pekerja mereka untuk membawa anak masing-masing menghadiri janji temu vaksinasi. Kanak-kanak yang mempunyai komorbiditi hendaklah patuh dengan janji temu dan mengambil ubat-ubatan seperti aturan yang telah ditetapkan.
Dalam program itu juga, DYTM Raja Muda Perlis turut berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 secara tunai, beras dan bekalan makanan mentah serta sumbangan wang dan bakul makanan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Maybank Islamic Berhad kepada para asnaf. Ali Mat (63 tahun) di Behor Empiang, Che Jamil Osman (69 tahun) di Kechor dan Duriyyah Bulat (47 tahun) di Sempering adalah antara asnaf yang menerima sumbangan daripada DYTM Raja Muda Perlis.


Pada masa yang sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim menasihati ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa mengutamakan kesihatan anak masing-masing.
“Didik mereka menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan menggunakan sabun atau cecair pembunuh kuman dan membiasakan mereka memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah,” katanya.
Tambah beliau lagi, kanak-kanak juga perlu dilatih mengamalkan pemakanan yang seimbang bagi meningkatkan daya imuniti untuk menentang jangkitan kuman. Kebijaksanaan ibu bapa dalam mengelakkan anak mereka daripada berada di kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 juga dapat membantu mengurangkan jangkitan virus ini dalam kalangan kanak-kanak.