Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBera – Sambutan Hari Air Sedunia 2022 peringkat kebangsaan telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di Taman Awam Bera, Bera, Pahang pada hari ini, 26 Mac 2022. Selain majlis pelancaran, terdapat juga pameran berkaitan dengan tema sambutan tersebut, iaitu melestarikan sumber air dengan memanfaatkan air di bawah tanah. Tema ini diperkenalkan oleh Menteri Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Pameran sistem bersepadu pengurusan sumber air dengan menggunakan teknologi realiti maya atau virtual reality (VR) antara satu daripada pameran yang dipamerkan bersempena dengan sambutan tersebut. Teknologi VR boleh digunakan untuk memudahkan proses membuat keputusan dan meningkatkan kefahaman serta komitmen masyarakat terhadap pelestarian alam sekitar.
Selain itu, teknologi VR merupakan kaedah pengintegrasian elemen digital bagi menyediakan maklumat secara lebih menarik dan mudah difahami ke arah meningkatkan kesedaran orang awam terhadap kepentingan alam sekitar, termasuklah sumber air.
Menurut Ketua Setiausaha KASA, Yang Berbahagia Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, penggunaan teknologi digital seperti VR secara tidak langsung dapat membuka minda masyarakat, dan seterusnya mengetahui dengan lebih mendalam tentang isu alam sekitar, serta mengetahui tanggungjawab setiap individu, organisasi dan institusi dalam usaha melestarikan sumber air di negara ini.
Tambah beliau, teknologi VR yang dibangunkan sejak tahun 2019 ini adalah hasil usaha sama antara penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama daripada syarikat tempatan Teras Berkat (M) Sdn. Bhd. Setakat ini, sebanyak tiga modul VR Pelestarian Alam Sekitar telah dibangunkan, iaitu air, sungai dan perubahan iklim.