Oleh Mudiana Mokhsin
15 Mac 2022, 11:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Teknologi infrastruktur boleh-gubah adalah kerangka untuk memperlakukan sumber peranti sebagai perkhidmatan dengan memisahkannya daripada sumber asal mereka. Sumber komputasi, penyimpanan dan rangkaian dipisahkan daripada lokasi sebenarnya dalam infrastruktur sumber yang dapat digabungkan dan dikendalikan oleh perisian melalui antara muka berasaskan web. Infrastruktur boleh-gubah ini menjadikan sumber pusat data dapat diakses seperti perkhidmatan awan dan berfungsi sebagai landasan bagi sistem awan persendirian serta hibrid.

Teknologi infrastruktur boleh-gubah menggunakan pendekatan yang lebih agresif untuk penggunaan sumber dengan memasukkan teknologi interkoneksi tambahan seperti Serial Attached SCSI (SAS), suis PCI ekspres, penstrim imej, dan lapisan komposisi perisian yang berkaitan. Sekiranya perlu, semua subsistem seperti komputasi, penyimpanan dan fabrik rangkaian dianggap sebagai komponen dalam satu “kumpulan sumber cecair” dan “tanpa berwayar secara fizikal”.

Perbezaan yang paling ketara ialah infrastruktur boleh-gubah dapat menyediakan ruang sekatan sumber yang lebih halus dengan kos overhed sistem lebih rendah. Semua sumber, iaitu gabungan unit komputasi tunggal, peranti penyimpanan dan fabrik rangkaian beroperasi melalui wayar sebenar dan bukannya lapisan yang ditentukan oleh perisian serta menyokong sepenuhnya beban kerja komputer fizikal yang kosong dan tiada beban kerja ditanggung oleh komputer tersebut.

Dalam arus modenisasi kini, organisasi teknologi maklumat moden juga harus memberikan ketangkasan atau kemampuan untuk bertindak balas dengan cepat terhadap perubahan permintaan pasaran. Teknologi maklumat tradisional memfokuskan kepada analogi “memastikan agar lampu sentiasa dihidupkan” sambil menjimatkan perbelanjaan. Hal ini bermaksud organisasi tersebut perlu sentiasa peka dan bertindak sekiranya berlaku sebarang permintaan daripada pelanggan. Namun begitu, teknologi maklumat moden juga harus mencapai kecepatan operasi yang tinggi dan membolehkan sesuatu perniagaan segera mengirimkan produk serta perkhidmatan baharu ke pasaran untuk disediakan kepada pengguna.

Bagi menyokong sesuatu aplikasi yang baharu, penyelesaian kepada infrastruktur tradisional adalah dengan mengaplikasikan teknologi infrastruktur secara maya dan memerlukan pelayan fizikal baharu. Pengaplikasian ini merupakan penyelesaian kepada rangkaian dan penyimpanan atau storan yang disesuaikan dengan keperluan pengguna. Seni bina ini memerlukan penciptaan infrastruktur silo bagi menampung pelbagai beban kerja, meningkatkan kos dan mengurangkan kerumitan di bahagian pusat data.

Infrastruktur boleh-gubah ini dapat menggantikan tetapan khusus beban kerja dengan pengumpulan sumber yang fleksibel yang dapat digabungkan secara dinamik untuk memenuhi keperluan setiap aplikasi. Hal ini meningkatkan prestasi aplikasi, meminimumkan penggunaan yang rendah dan penyediaan yang berlebihan serta menjadikan pusat data lebih efisien dan menjimatkan kos. Teknologi maklumat dapat menyediakan infrastruktur di sesuatu tempat dengan cepat dan mudah kerana sumber awan awam dapat diperoleh dan digunakan dengan menggunakan seni bina yang boleh digubah.

Infrastruktur boleh-gubah menawarkan potensi untuk memberikan prestasi aplikasi yang terbaik, mengurangkan penggunaan infrastruktur yang rendah dan penyediaan yang berlebihan, menawarkan kaedah yang lebih tangkas serta menjimatkan kos untuk penyediaan semula aplikasi. Walau bagaimanapun, infrastruktur boleh-gubah ini memerlukan konfigurasi semula yang dinamik dan berterusan daripada sebilangan besar aset infrastruktur yang berpotensi untuk meningkatkan kerumitan teknologi maklumat. Kerangka pengurusan sistem yang mantap diperlukan bagi membantu mengatasi kerumitan yang berpotensi akan berlaku.

Ciri utama yang harus dipertimbangkan oleh organisasi teknologi maklumat semasa menilai kaedah penyelesaian terhadap kerumitan infrastruktur boleh-gubah ialah:

  1. Infrastruktur boleh diprogramkan secara terpisah
  2. Komposisi dan orkestrasi
  3. Pengurusan dan automasi
  4. Pemusatan aplikasi

Ciri infrastruktur boleh diprogramkan secara terpisah merujuk sumber infrastruktur seperti kuasa dan penyejukan, rangkaian input dan output, penyimpanan, dan pengiraan yang dipisahkan daripada subsistem lain di pelayan dapat ditingkatkan dan diperuntukkan secara optimum bagi memenuhi keperluan aplikasi tertentu. Sumber yang dipisahkan memungkinkan kecekapan dalam skala dan memberikan kemampuan kepada organisasi teknologi maklumat bagi menaik taraf potensi setiap subsistem. Kebolehprograman infrastruktur dengan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi atau Application Programming Interface (API) umum di seluruh subsistem dengan menggunakan model objek yang memungkinkan lapisan di atas menyusun, memperuntuk dan mengurus sumber ini.

Ciri komposisi dan orkestrasi pula merujuk dasar komposisi dan orkestrasi yang kuat sangat penting bagi memanfaatkan sumber yang dipisahkan. Komposisi dan orkestrasi membolehkan kerangka aplikasi peringkat lebih tinggi menguruskan kumpulan sumber perkakasan secara dinamik tanpa mengganggu operasi perkhidmatan yang sedang berjalan. Komposisi dan orkestrasi juga membolehkan peranti dan aplikasi yang berbeza dapat bekerjasama dengan lancar melalui cara yang terkoordinasi. Komposisi berlaku pada tahap subsistem melalui penggunaan profil, manakala orkestrasi berlaku di seluruh domain infrastruktur. Keupayaan komposisi dan orkestrasi harus membolehkan penggunaan semua polisi secara konsisten di seluruh sumber infrastruktur.

Beralih pula kepada aspek pengurusan dan automasi, kerangka pengurusan yang komprehensif diperlukan untuk mengautomasi penemuan sumber dalam kumpulan infrastruktur dan melaksanakan kepintaran bagi menyeragamkan penyediaan sumber tersebut. Sebagai tambahan, API yang konsisten dengan sokongan luas untuk alat pengurusan sistem lain diperlukan untuk memberikan kemudahan integrasi dan memperluas pemantauan, penyediaan, automasi, dan orkestrasi di seluruh pusat data.

Seterusnya, dengan pendekatan pemusatan aplikasi teknologi maklumat dapat mendefinisikan aliran kerja, keperluan sumber dan polisi terlebih dahulu bagi memacu ke arah “infrastruktur sebagai kod” dan memastikan aplikasi dioptimumkan secara dinamik. Tindakan berdasarkan keadaan dan penyeragaman tindakan dapat menghilangkan proses tekaan dan proses manual. Proses ini dapat mencegah kelewatan operasi dan mencegah kenaikan kos operasi jangka masa panjang. Apabila keadaan aplikasi itu mendorong berlakunya sesuatu tindakan, platform dapat berjalan pada prestasi puncak, dan fungsi sesuatu aplikasi atau perkhidmatan dapat disampaikan dengan cepat dan lebih selamat.

Kebanyakan penyedia infrastruktur pelayan berkapasiti besar telah merancang untuk membawa produk infrastruktur boleh-gubah ini ke pasaran dalam beberapa tahun akan datang. Rancangan pelaksanaan, pendekatan vendor dan garis masa pengeluaran sangat berbeza dalam kalangan vendor. Platform yang dapat digubah ini tidak boleh dikelirukan dengan sistem yang disatukan. Hal ini bermaksud konfigurasi praintegrasi yang menggabungkan pelayan, penyimpanan dan rangkaian dengan kerangka pengurusan yang digabungkan. Dalam kebanyakan kes, kemampuan telah ditambah terhadap infrastruktur sistem yang disatukan bagi menghasilkan platform boleh-gubah. Namun begitu, tidak semua sistem yang disatukan mempunyai kemampuan infrastruktur boleh-gubah.

Infrastruktur boleh-gubah merupakan kumpulan sumber yang dapat dikonfigurasi secara dinamik melalui perisian dan penerapan kepintaran untuk mengoptimumkan prestasi aplikasi serta mendorong penggunaan infrastruktur yang efisien. Infrastruktur boleh-gubah berpotensi menawarkan prestasi aplikasi yang terbaik, mengurangkan penggunaan infrastruktur yang kurang atau terlalu banyak dan menawarkan kaedah yang lebih tangkas serta menjimatkan kos untuk penyediaan semula aplikasi. Walau bagaimanapun, infrastruktur boleh-gubah ini memerlukan konfigurasi dinamik yang berterusan dan konfigurasi semula terhadap sejumlah besar aset infrastruktur untuk keperluan organisasi teknologi maklumat pada masa akan datang.

Penulis ialah Felow Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK), Universiti Teknologi MARA dan Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!