14 Mac 2022, 11:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kanser ialah penyakit tidak berjangkit dan merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di dunia selepas penyakit berkaitan jantung. Di Malaysia, bilangan kes kanser dijangkakan meningkat sebanyak dua kali ganda pada tahun 2040, berbanding dengan bilangan terkini, iaitu sekitar 48 000 kes setahun. Mengikut statistik daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada tahun 2020, Malaysia merekodkan bilangan kes kanser kanser payudara sebanyak 32.9 peratus bagi wanita dan kanser paru-paru dalam kalangan lelaki dengan 17 peratus.

Punca sebenar kepada pembentukan sel kanser sukar ditentukan. Walau bagaimanapun, beberapa faktor risiko penting yang telah dikenal pasti termasuklah gaya pemakanan, merokok dan obesiti. Selain itu, sejarah kesihatan ahli keluarga yang mempunyai masalah penyakit kanser turut menjadi faktor seseorang itu berisiko lebih tinggi untuk mendapat kanser yang sama.

Sel kanser bersifat aktif, membiak tanpa kawalan dan melangkaui arahan pengaturcaraan yang biasa digunakan oleh sel normal. Oleh sebab perkembangan sel di luar kawalan ini, ketulan yang terbentuk akan membesar dan menggunakan sumber makanan yang diperlukan oleh sel normal.

Ketulan yang semakin membesar tersebut akan menyebabkannya menekan sel normal yang berada di sekeliling. Hal ini menghalang pengaliran oksigen serta nutrien dan seterusnya menyebabkan kematian sel normal lain. Selain itu, pembesaran yang di luar kawalan ini juga menekan bahagian tubuh lain yang menyebabkan seseorang itu berasa sakit. Disebabkan oleh rasa sakit ini hanya mula datang pada ketika ketulan telah membesar dengan signifikan, hal inilah yang menyebabkan seseorang itu lewat didiagnosis sebagai kanser pada tahap tiga atau empat.

Apabila seseorang itu didiagnosis menghidap kanser, pelbagai perkara perlu difikirkan, termasuklah pilihan bentuk dan jenis rawatan yang akan diambil. Bergantung kepada jenis dan tahap kanser yang dialami, doktor akan memberikan penerangan berkenaan rawatan dan keberkesanan bagi setiap pilihan.

Terdapat pelbagai jenis rawatan yang digunakan di hospital untuk merawat kanser. Antara rawatan utama bagi kanser ialah pembedahan, kemoterapi dan radioterapi. Pendekatan rawatan juga boleh diambil melalui kombinasi beberapa jenis kaedah dan bergantung pada tahap penyakit dan organ yang terlibat.

Susunan urutan kaedah yang digunakan juga mungkin berbeza-beza mengikut keadaan pesakit. Sebagai contohnya, dalam kes tertentu, rawatan mungkin dimulakan dengan kemoterapi untuk mengecutkan ketulan kanser, diikuti dengan pembedahan untuk membuang ketulan itu secara keseluruhannya. Dalam kes lain pula, rawatan boleh dimulakan dengan pembedahan untuk membuang ketulan yang kelihatan, diikuti dengan rawatan radioterapi dan/atau kemoterapi untuk memastikan semua sel yang tertinggal dimusnahkan.

Pembedahan yang dijalankan bagi rawatan kanser bertujuan membuang sebanyak mungkin ketulan kanser daripada organ yang terlibat. Namun demikian, dalam sesetengah keadaan, masih terdapat sel kanser yang tertinggal di kawasan yang terlibat, terutamanya disebabkan oleh sel kanser yang bersaiz kecil dan terletak lebih jauh daripada ketulan utama. Dalam keadaan ini, teknik kedua radioterapi, kemoterapi atau kombinasinya diperlukan untuk memastikan semua sel kanser dimusnahkan.

Radioterapi merupakan kaedah rawatan menggunakan radiasi untuk memusnahkan sel kanser. Teknik ini merupakan kaedah tersasar (targeted), iaitu sinaran radiasi akan dihalakan terus kepada lokasi kanser tersebut tanpa mengganggu bahagian tubuh yang lain.

Kemoterapi merujuk ubat-ubatan yang digunakan untuk memusnahkan sel yang aktif dan pantas berkembang di dalam tubuh. Penggunaan kemoterapi ini sangat meluas dalam kalangan pesakit kanser. Ubat yang digunakan mungkin berbeza-beza dan bergantung kepada jenis kanser yang dialami pesakit. Kesan sampingan kemoterapi merupakan perkara yang amat dikhuatiri oleh pesakit kanser. Pelbagai persoalan yang timbul berkenaan kesan sampingan selepas kemoterapi menyebabkan kebanyakan pesakit takut dan berasa khuatir terhadap kualiti hidup yang akan terjejas sepanjang proses rawatan.

Antara kesan sampingan yang sering dilaporkan akibat kemoterapi ialah keguguran rambut yang serius, pecah-pecah di dalam mulut, sistem imun menjadi lemah, hilang selera makan dan lain-lain. Kesan sampingan bergantung kepada jenis ubat yang digunakan dan tidak berlaku kepada semua pesakit. Mengapakah kesan sampingan ubat-ubatan kemoterapi sangat menakutkan?

Sel kanser bersifat aktif. Di samping sel kanser, terdapat beberapa jenis sel lain dalam tubuh yang turut bersifat aktif seperti sel rambut, sel imun, sel pembiakan dan lain-lain. Pemberian ubat kemoterapi selalunya dibuat melalui laluan sistemik, iaitu pemberian ke seluruh badan melalui saluran darah atau melalui mulut. Pemberian melalui laluan sistemik ini akan membawa ubat tersebut ke seluruh badan dengan melalui sel yang normal hingga bertemu dengan sel kanser untuk dimusnahkan. Namun begitu, disebabkan ubat-ubatan tersebut tidak dapat mengenali sel kanser secara spesifik, sel normal yang aktif membiak turut sama mendapat kesan toksik ubat tersebut dan dimusnahkan.

Disebabkan oleh itu, antara kesan sampingan yang biasa dialami oleh pesakit semasa rawatan kemoterapi ialah kehilangan rambut yang signifikan, kadang kala sehingga menjadi botak. Selain itu, kesan terapi ini kepada sel imun yang sihat menyebabkan pesakit mudah demam dan/atau mendapat jangkitan kuman akibat penurunan sistem pertahanan tubuh. Sistem pembiakan mungkin turut terganggu yang mengakibatkan kesuburan pesakit boleh menurun akibat kemoterapi.

Namun demikian, kesan sampingan akibat kemoterapi ini boleh diatasi dan dirawat dengan berkesan. Bagi sesetengah kesan sampingan seperti kehilangan rambut dan penurunan kesuburan, kesan tersebut boleh kembali kepada keadaan normal selepas rawatan dihentikan. Hal ini juga bergantung kepada keadaan individu pesakit. Justeru, pemantauan rapi semasa tempoh rawatan amat penting untuk memastikan kesan sampingan terhadap sel normal ini adalah terkawal.

Walau pun rawatan kanser mengundang rasa takut dalam diri pesakit, rawatan ini perlu dilakukan untuk mengawal dan mengelakkan keadaan pesakit menjadi lebih teruk. Semua jenis rawatan kanser yang disarankan oleh WHO dan Kementerian Kesihatan Malaysia ini merupakan rawatan yang telah terbukti berkesan. Dengan pemantauan yang rapi, kualiti hidup pesakit akan dapat dipelihara sebaik-baik mungkin sepanjang rawatan diberikan.

Kajian dalam pembangunan ubat-ubatan terkini mengambil pendekatan penyampaian ubat secara tersasar atau targeted drug delivery untuk mengurangkan risiko kejadian kesan sampingan yang teruk akibat rawatan kanser. Pendekatan ini melibatkan beberapa kaedah seperti penggunaan cahaya untuk mengaktifkan ubat-ubatan, aplikasi nanoteknologi dan penggunaan molekul khas sebagai pemandu kepada ubatan kemoterapi. Penggunaan molekul pemandu ini akan membantu dalam pengenalpastian sel kanser, justeru ubat tersebut hanya akan dihantar terus kepada sel kanser tanpa merosakkan sel normal.

Pada masa hadapan, dipercayai akan terdapat lebih banyak ubat-ubatan terkini yang menggunakan kaedah penyampaian tersasar. Perkembangan rawatan kanser ini diharapkan akan meningkatkan kualiti rawatan yang diberikan dan meningkatkan peluang pesakit kanser untuk hidup normal selepas rawatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.