11 Mac 2022, 17:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pertambahan permintaan terhadap makanan meningkat seiring dengan peningkatan jumlah penduduk di Malaysia. Bekalan makanan yang tidak mencukupi bagi kegunaan tempatan telah menyebabkan Malaysia terpaksa mengimport makanan dari luar negara. Bagi mengurangkan kadar kebergantungan terhadap makanan dari negara luar, industri makanan tempatan perli dipertingkat bagi memenuhi permintaan sedia ada. Pada masa yang sama, sumber makanan keluaran tempatan perlulah mudah didapati, berkualiti dan dapat dibeli dengan harga yang berpatutan.

Penternakan ikan air tawar adalah satu daripada cara usaha untuk memenuhi permintaan tempatan bagi menggantikan bekalan ikan daripada laut yang tidak mencukupi untuk kegunaan tempatan. Penternakan ikan air tawar di negara ini telah berhasil menyumbangkan sebanyak 26 peratus kepada jumlah pengeluaran ikan bagi keperluan negara. Penternakan ikan air tawar juga telah menunjukkan jumlah peningkatan yang baik dalam memenuhi bekalan makanan negara.

Selain itu, penternakan ikan air tawar semakin mendapat tempat di hati masyarakat tempatan. Hal ini kerana cara penternakannya yang lebih mudah, menjimatkan masa dan tenaga berbanding dengan menangkap ikan di sungai atau di laut. Hasil yang didapati daripada ternakan ikan air tawar juga lebih banyak.

Penternakan ikan air tawar seperti ikan keli semakin mendapat permintaan yang tinggi dari masyarakat tempatan. Penternakan ikan keli bukan sahaja dapat menyumbang kepada bekalan ikan negara, malah dapat membantu menjana pendapatan bagi sesiapa yang mengusahakannya.

Dalam usaha untuk menambah pendapatan dan mendapatkan bekalan ikan yang halal, pihak Pondok Tahfiz Muhammadiyah yang terletak di Kampung Charok Tala, Sik, Kedah telah berusaha untuk menjalankan penternakan ikan keli. Namun begitu, usaha yang dijalankan ini adalah tidak sistematik dan tiada pengurusan kewangan yang teratur. Ternakan ikan keli pula diusahakan secara konvensional dan kecil-kecilan. Hal ini menyebabkan hasil ternakan tidak dapat menampung perbelanjaan pengurusan pondok tahfiz, apatah lagi dapat menjana pendapatan seperti yang diharapkan.

Bagi mengatasi masalah ini, bantuan kepakaran dari segi latihan dan bimbingan penternakan ikan keli secara lestasi amatlah diperlukan. Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Perikanan Negeri Kedah ialah organisasi yang mempunyai kepakaran tersebut. Bagi menjayakan usaha tersebut, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM melalui geran libatsama komuniti di bawah tajaan Badan Jaringan Industri dan Masyarakat, USM dan Jabatan Perikanan Negeri Kedah telah bersetuju untuk bekerjasama bagi membantu Pondok Tahfiz Muhammadiah meningkatkan pendapatan melalui penternakan ikan keli secara lestari.

Melalui kerjasama ini, Pondok Tahfiz Muhammadiah berpeluang untuk mempelajari cara pengurusan kewangan dan pemasaran yang berkesan daripada penyelidik USM. Seterusnya, USM juga akan membantu pondok tahfiz tersebut untuk mempelbagaikan produk ikan keli dan menambah pendapatan sedia ada.

Seramai tiga orang penyelidik dari tiga pusat pengajian yang berlainan terlibat dalam menjayakan program ini. Program yang diketuai oleh Dr. Wan Afezah Wan Abdul Rahman dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Dr. NorKhalidah Abdul Hamid dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat, dan Dr. Siti Rohaya Yahya dari Pusat Pengajian Seni telah bersetuju untuk berganding bahu bagi menjayakan program ini. Peserta yang terlibat dalam program ini terdiri daripada tenaga pengajar, pelajar tahfiz dan penduduk berdekatan yang berminat untuk menjana pendapatan melalui ternakan ikan keli secara lestari.

Sebagai persediaan, kumpulan penyelidik telah mengadakan perbincangan dengan pihak pondok tahfiz tentang cara mengekalkan kelestarian di kawasan pondok tersebut tanpa merosakkan sungai yang sedia ada. Berdasarkan pelan yang telah dibuat, paip yang panjang akan dipasang bagi melepaskan air kumbahan ikan keli ke dalam paya di kawasan yang dipenuhi pokok. Hal ini dilakukan untuk mengurangkan kesan pencemaran daripada sisa kumbahan ikan keli. Air untuk ternakan ikan keli ini pula akan diambil dari sungai yang mengalir dalam kawasan pondok tahfiz dengan menggunakan pam elektrik.

Tangki ikan keli yang telah siap dipasang dengan paip.

Pasir dan batu kecil telah ditambak di kawasan penyediaan tapak ternakan untuk mengelakkan kawasan tersebut menjadi lecak. Hal ini disebabkan oleh tanah di kawasan tahfiz terdiri daripada tanah merah. Apabila hujan turun dengan lebat, kawasan tersebut akan menjadi sangat lecak dan berselut. Disebabkan keadaan ini, pihak tahfiz telah membuat keputusan untuk membina tapak yang lebih tinggi untuk pemasangan tangki ikan keli.

Pembinaan tapak bagi tangki ikan keli.

Pihak USM telah membekalkan empat tangki bagi proses penternakan ikan keli. Sebanyak 3000 ekor anak ikan anak ikan telah dilepaskan secara perlahan-lahan ke dalam tangki yang telah disediakan. Paras air di dalam tangki juga sentiasa dipantau dengan teliti.

Anak ikan keli yang dilepaskan ke dalam tangki ternakan.

Peserta program telah diberi penerangan cara penjagaan dan penternakan ikan keli secara lestari tanpa menjejaskan keadaan alam semula jadi. Hal ini penting untuk menjaga ekosistem semula jadi di kawasan tersebut supaya tidak tercemar. Peserta program juga telah diberikan latihan dan tunjuk ajar cara untuk memproses makanan ikan dengan menggunakan daun betik.

Pihak Jabatan Perikanan juga telah memberikan sebanyak 6000 ekor benih anak ikan kepada Pondok Tahfiz Muhammadiah sebagai tanda menyokong usaha ini. Pihak USM juga membantu dalam membiakkan tanaman rumput air yang dikenali sebagai Azolla dan Wolfia sebagai makanan tambahan bagi ikan keli. Peserta program terlibat juga diberikan tunjuk ajar cara menguruskan kewangan dan memasarkan ikan keli dengan menggunakan teknik pembungkusan dan pemasaran yang berkesan.

Dr. Wan Afezah Wan Abdul Rahman ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.