Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Dalam usaha menyemarakkan lagi agenda untuk merakyatkan sains dan menginsankan teknologi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Planetarium Negara telah mengambil inisiatif untuk menyediakan maklumat mengenai peristiwa penting astronomi sepanjang tahun ini. Maklumat tersebut telah didokumentasikan sebagai Kalendar Astronomi 2022, MOSTI.
Kalendar Astronomi 2022 ini boleh dijadikan sebagai bahan rujukan dan garis panduan kepada orang ramai dan peminat astronomi untuk mencerap, memerhati dan menyaksikan fenomena unik yang bakal berlaku sepanjang tahun 2022. Kalendar ini menunjukkan peristiwa mengikut waktu piawai dan tarikh berlakunya sesuatu fenomena astronomi bukan sahaja di langit Malaysia, malah di seluruh dunia melalui grafik ringkas yang mudah difahami.
Menurut Menteri MOSTI, Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Adham Baba, setiap ahli Keluarga Malaysia boleh merujuk Kalendar Astronomi 2022 untuk mengatur dan merancang program keluarga bagi membolehkan ahli keluarga masing-masing mengikuti serta menikmati fenomena cakerawala yang berlaku. Bagi pihak sekolah pula, perancangan program yang bersesuaian pada peringkat bilik darjah atau sekolah boleh dilaksanakan dalam usaha untuk membolehkan para pelajar melihat fenomena sebenar sebagaimana yang dipelajari dalam buku teks.
Bukan itu sahaja, pihak sekolah juga boleh mengatur sesi lawatan para pelajar ke mana-mana pusat pendidikan tidak formal dalam bidang astronomi yang berdekatan. Kalendar ini juga boleh digunakan oleh para pelajar institut pengajian tinggi bagi meningkatkan minat dalam bidang astronomi dan seterusnya mencipta bakat dalam bidang ini.
Di samping itu, sesi pencerapan, forum, ceramah, atau taklimat awam boleh dilaksanakan dengan menjemput beberapa orang tokoh astronomi pada peringkat komuniti. Para ahli akademik pula boleh membantu penyelidik untuk membuat penyelidikan yang bersesuaian semasa berlakunya fenomena astronomi tersebut dan penemuan hasil penyelidikan dari lokasi masing-masing boleh dikongsikan kepada negara.
Data yang dikeluarkan dalam Kalendar Astronomi 2022 telah disemak dan disahkan dengan merujuk sumber data yang sahih dan berwibawa oleh beberapa pihak seperti Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika Syarikat. Perbezaan kecil dalam data seperti masa berlakunya fenomena berkemungkinan disebabkan oleh perbezaan kejituan perisian yang digunakan.
Inisiatif penerbitan kalendar ini adalah selaras dengan Teras Strategik ke-5 Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara, iaitu “Menggalak dan Memupuk Kesedaran Sains, Teknologi dan Inovasi” dalam kalangan masyarakat. MOSTI melalui Planetarium Negara juga akan menyediakan siaran langsung atau liputan khas bagi setiap fenomena yang berlaku melalui laman media sosial masing-masing. Kalendar Astronomi 2022 boleh dimuat turun melalui laman web Planetarium Negara, www.planetariumnegara.gov.my dan diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Keluarga Malaysia bagi menambah pengetahuan, pendidikan, minat, bakat, kesedaran, dan seterusnya mencipta manfaat dari segi ekonomi.

(Sumber: Facebook MOSTI)