Diterbitkan pada 8 Februari 2022, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyertai aktiviti berbasikal yang diadakan sempena Hari Kanser Sedunia dalam program “Perlis Hebat: Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan” anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), petang semalam.         

DYTM Raja Muda Perlis menyertai aktiviti berbasikal sempena Hari Kanser Sedunia.

Program ini disekalikan dengan aktiviti MAIPs Peduli Bilangan ke-10 bagi tahun 2022 yang bertemakan “Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser”. Tujuan aktiviti ini diadakan adalah untuk mengenal pasti ketidaksamarataan dan jurang yang wujud dalam penjagaan kesihatan kanser di seluruh dunia serta mewujudkan ekuiti dalam menyediakan perkhidmatan yang diperlukan secara saksama dalam penjagaan kanser. Hal ini adalah penting agar pesakit kanser dapat menikmati peluang yang sama untuk mendapatkan rawatan di mana-mana mereka berada sekali gus menikmati kesihatan yang optimum.

DYTM Raja Muda Perlis berkesempatan menyantuni tiga buah rumah asnaf.

DYTM Raja Muda Perlis diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor berkesempatan menyantuni tiga buah rumah asnaf bersempena dengan program tersebut. Agihan zakat MAIPs telah disampaikan oleh DYTM Raja Muda Perlis kepada asnaf yang terlibat, iaitu Puan Risnita Elias (60 tahun), Puan Rasanah Abdul (70 tahun) dan Puan Azizah Din (75 tahun). DYTM Raja Muda Perlis turut berkesempatan berkunjung ke Mirnaz Roomstay di Lot 2355, Kampung Masjid, Batu 3 3/4 Jalan Kaki Bukit, Kangar yang baru mula beroperasi dengan berkonsepkan penginapan yang menarik di tengah-tengah kawasan sawah.

DYTM Raja Muda Perlis berkunjung ke Mirnaz Roomstay.

Pada masa yang sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim telah berkongsi maklumat berkaitan dengan kes kanser. Beliau menyatakan bahawa menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, lebih daripada satu per tiga kes kanser boleh dicegah, manakala satu per tiga kes kanser lagi boleh diubati jika dikesan pada peringkat awal dan dirawat dengan segera. Seterusnya, satu per tiga lagi adalah kualiti hidup dapat dipertingkatkan dengan rawatan paliatif.

“Berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Perlis, kanser utama dalam kalangan lelaki ialah kanser kolorektal, diikuti dengan kanser paru-paru dan seterusnya kanser prostat. Bagi wanita pula, kanser payudara merupakan kanser yang tertinggi diikuti dengan kanser kolorektal dan kanser serviks”, katanya dalam program tersebut.

Tambah beliau, pencegahan kanser boleh dilakukan melalui beberapa cara seperti mengamalkan gaya hidup yang sihat. Amalan pemakanan yang sihat, mengekalkan berat badan yang optimum dan aktif secara fizikal membolehkan seseorang itu mampu mencegah dan mengurangkan risiko berlakunya kanser.

Beliau turut menasihati masyarakat agar berhenti merokok melalui perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok atau melayari www.jomquit.com bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang hal ini. Pengambilan rokok atau tembakau telah menyebabkan lapan juta kematian setiap tahun dan menyebabkan sekurang-kurangnya 25 peratus daripada semua kematian itu disebabkan oleh kanser. Ujian saringan kanser kolorektal dengan menggunakan immunochemical fecal occult blood test (iFOBT) juga perlu dilakukan bagi individu yang berusia 50 tahun dan ke atas. Menurut beliau lagi:

Golongan wanita perlu melakukan pemeriksaan sendiri payudara dengan cara yang betul sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan sekali. Selain itu, mereka juga perlu melakukan ujian saringan pap smear atau HPV/DNA bagi mereka yang pernah dan masih aktif secara seksual. Teruskan menyokong Program Imunisasi HPV Kebangsaan bagi suntikan vaksinasi HPV kepada semua warganegara wanita yang berusia 13 tahun dan layak mendapat suntikan tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi