8 Februari 2022, 12:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Populariti menggunakan rokok elektronik semakin meningkat terutamanya dalam kalangan remaja. Kebanyakan orang memilih untuk menghisap rokok elektronik kerana merasakan bahawa penggunaannya lebih selamat daripada merokok. Penggunaan rokok elektronik juga dikatakan dapat melatih diri untuk berhenti daripada merokok konvensional.

Dilaporkan bahawa tujuh daripada 10 perokok tegar ingin berhenti merokok. Namun demikian, adakah dengan menggunakan rokok elektronik sebagai medium perantara untuk berhenti merokok merupakan tindakan yang selamat dan wajar? Mengapakah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak meluluskan rokok elektronik sebagai bahan pengantara untuk berhenti merokok? Adakah menghisap rokok elektronik mempunyai kesan sampingan yang sama seperti merokok? Terlalu banyak persoalan yang perlu dijelaskan agar perokok tegar tidak menggunakan rokok elektronik sebagai langkah utama untuk berhenti merokok.

Bahan kimia daripada rokok elektronik mengandungi cecair nikotin, perasa, pewarna, dan bahan kimia lain yang akan terbebas sebagai wap semasa disedut. Menurut laporan daripada Center of Disease Control and Prevention, kes kerosakan paru-paru dan kematian yang disebabkan oleh menghisap rokok elektronik semakin meningkat setiap tahun. Data pada bulan Februari 2020 menunjukkan sebanyak 2807 kes kerosakan akut paru-paru atau e-cigarette or vaping use-associated lung injury (EVALI) dan 68 kematian dilaporkan akibat penggunaan rokok elektrik. Menurut kajian, cecair rokok elektronik mengandungi vitamin E acetat yang menjadi satu daripada punca pesakit mendapat penyakit EVALI. Vitamin E acetat ini juga dijumpai dalam cecair paru-paru kesemua pesakit yang mengalami masalah EVALI.

Kajian di seluruh dunia mendapati penggunaan rokok elektronik memberi kesan negatif terhadap kesihatan jantung dan paru-paru. Nikotin merupakan bahan kimia utama dalam cecair rokok elektronik. Nikotin boleh memberi kesan ketagihan terhadap individu yang mengamalkan rokok elektronik. Nikotin merupakan bahan toksik berbahaya kepada badan yang boleh meningkatkan tekanan darah dan rembesan hormon adrenalin dalam darah yang menyebabkan peningkatan denyutan jantung. Kesemua perubahan ini dapat meningkatkan risiko individu untuk mendapat serangan jantung pada usia muda.

Adakah kandungan nikotin di dalam rokok elektronik kurang dari rokok tradisional? Jika dibandingkan dengan rokok tradisional, menghisap rokok elektronik mempunyai bahan kimia yang rendah berbanding dengan asap rokok. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah rokok elektronik mempunyai kandungan nikotin yang jauh lagi tinggi daripada rokok tradisional. Memandangkan rokok elektronik boleh diubah suai seperti ketinggian voltan atau menggunakan cecair yang lebih pekat, kandungan nikotin yang disedut mungkin mempunyai kepekatan jauh lebih tinggi daripada rokok biasa.

Wap panas daripada sedutan rokok elektronik juga boleh menyebabkan kerosakan paru-paru pada jangka masa panjang. Kajian mendapati bahawa wap daripada rokok elektronik menyebabkan pengurangan lumen salur paru-paru akibat pengecutan otot di salur pernafasan semasa menghisap rokok elektronik. Oleh sebab itu, pesakit asma berisiko tinggi mendapat serangan asma akut jika menghidu atau terhidu wap rokok elektronik.

Penggunaan rokok elektronik juga memberi kesan terhadap kanak-kanak dan remaja. Otak manusia akan berkembang bermula dari waktu lahir hingga umur 25 tahun. Penggunaan nikotin pada usia remaja mampu merosakkan sebahagian daripada fungsi otak dan menyebabkan gangguan pada fokus, masalah pembelajaran dan mengawal emosi.

Sepanjang tumbesaran kanak-kanak, sinaps atau jaringan yang menghubungkan sel saraf di otak berkembang dengan pesat. Setiap kali memori baharu terhasil atau kemahiran baru diperoleh, sinapsĀ antara sel menjadi lebih kuat. Otak kanak-kanak dan remaja juga menghasilkan sinaps jauh lagi cepat daripada otak dewasa. Pengambilan nikotin boleh membuatkan penyatuan sinaps ini terbantut. Hal ini menjadi punca utama menghisap rokok elektronik mengurangkan konsentrasi atau membantutkan proses pembelajaran kanak-kanak dan remaja.

Kebanyakan orang mendakwa bahawa kandungan perasa dalam cecair rokok elektronik adalah daripada bahan yang boleh dimakan dan selamat untuk disedut dalam bentuk wap air. Dakwaan tersebut adalah salah sama sekali. Setiap organ dalam badan mempunyai fungsi yang spesifik untuk menjadikan badan sentiasa sihat. Saintis mendapati pewarna atau perasa dalam cecair rokok elektronik adalah berbahaya kepada paru-paru. Hal ini dikatakan demikian kerana paru-paru tidak mempunyai enzim yang diperlukan untuk mencernakan perasa rokok elektronik berbanding dengan usus yang mempunyai fungsi untuk berbuat demikian. Oleh sebab itu, paru-paru tidak boleh dianggap mempunyai fungsi pencernaan seperti usus. Apabila bahan kimia tidak dapat dicernakan, bahan tersebut akan berkumpul dan merosakkan paru-paru pada jangka masa panjang.

Bagaimanakah pula dengan individu yang tidak merokok, namun menghidu asap atau wap rokok elektronik daripada persekitaran? Adakah mereka juga mempunyai risiko kesihatan yang sama seperti penghisap rokok elektronik? Kajian mendapati mereka yang terdedah kepada asap dan wap rokok sekunder berisiko tinggi untuk mendapat masalah seperti yang berikut:

  1. Kanser
  2. Penyakit jantung
  3. Kerosakan paru-paru
  4. Penyakit asma

Bagi wanita yang mengandung, risiko kesihatan yang boleh dialami apabila terdedah kepada asap dan wap rokok elektronik boleh menyebabkan masalah seperti yang berikut:

  1. Kelahiran bayi pramatang
  2. Kematian bayi di dalam kandungan
  3. Kematian bayi yang dilahirkan secara mengejut.

Walapupun rokok elektronik sering kali dijadikan rujukan untuk berhenti merokok, KKM atau persatuan perubatan seluruh dunia tidak pernah meluluskan rokok elektronik sebagai satu daripada pilihan untuk berhenti merokok. Hal ini disebabkan oleh kesan sampingan yang boleh berlaku pada jangka masa pendek dan panjang. Terdapat pelbagai cara lain untuk berhenti merokok yang lebih berkesan dan diluluskan oleh KKM seperti mendapatkan perkhidmatan berhenti merokok di klinik berhenti merokok.

Klinik berhenti merokok ialah klinik yang ditubuhkan bagi membantu perokok yang bertekad untuk membuang tabiat yang berbahaya ini. Khidmat yang ditawarkan di klinik ini termasuklah kaunseling individu dan berkumpulan serta terapi gentian nikotin (NRT). Setiap perokok yang bermotivasi untuk berhenti merokok akan diberikan NRT yang bertindak untuk mengurangkan rasa gian terhadap nikotin serta mengurangkan atau mencegah gejala tarikan yang mungkin berlaku semasa proses berhenti merokok. NRT tidak mempunyai bahan kimia seperti yang biasa terdapat dalam asap rokok. NRT dibekalkan dalam dos yang rendah sebagai gantian nikotin kepada rokok.

Sebagai kesimpulannya, amalan menggunakan rokok elektronik boleh memberikan impak pada kesihatan. Walaupun kesan tersebut mungkin tidak diketahui sehingga bertahun-tahun lamanya, namun orang ramai hendaklah menolak amalan tersebut demi menjaga kesihatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!