Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia sekali lagi mencatatkan lima angka kes harian COVID-19 pada 6 Februari 2022 dan 7 Februari 2022 setelah kali terakhir dilaporkan pada 2 Oktober 2021. Peningkatan kes yang agak ketara sepanjang bulan Februari 2022 masih lagi tidak menjejaskan sistem kesihatan awam negara buat masa ini. Peningkatan kes tersebut juga bukanlah suatu yang di luar jangkaan kerana varian Omicron sememangnya lebih mudah merebak seperti yang berlaku di seluruh dunia.
Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, sebanyak 5566 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada 1 Februari 2022, 5736 kes pada 2 Februari 2022, 5720 kes pada 3 Februari 2022, 7234 kes pada 4 Februari 2022, 9117 kes pada 5 Februari 2022, dan 10 089 kes pada 6 Februari 2022. Walaupun berlakunya peningkatan kes, kebanyakan kes tersebut merupakan kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan, iaitu dalam kategori klinikal 1 dan 2A.
“Bagi perkara berkaitan dengan kluster pula, terdapat 89 kluster baharu COVID-19 yang dikenal pasti pada Minggu Epid 5 dengan 353 kluster aktif. Daripada jumlah tersebut, 52 kluster (58.4 peratus) merupakan kluster pendidikan, 20 kluster (22.5 peratus) daripada kluster tempat kerja, tujuh kluster (7.9 peratus) daripada kluster komuniti, enam kluster (6.7 peratus) kluster dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi, tiga kluster (3.4 peratus) daripada kluster pusat tahanan, dan satu kluster (1.1 peratus) daripada kluster keagamaan. Walaupun berlakunya peningkatan jumlah kes harian, jumlah kluster yang dilaporkan adalah berkurangan sebanyak 16 peratus pada Minggu Epid 5 berbanding dengan minggu sebelumnya,” ujar Khairy.
Tambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengaktifkan semula National COVID-19 Rapid Response Task Force (RRTF) bagi memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi gelombang terbaharu ini. RRTF yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) akan melaksanakan tindakan awalan pantas dalam mengawal penularan di sesebuah negeri atau kawasan serta membuat pelaporan terus kepada Menteri Kesihatan. Antara tindakan awalan pantas adalah dengan menambah dan mengubah suai katil bukan COVID-19, membina hospital medan dan menyumberluaran pesakit ke hospital swasta.
Menyentuh perkembangan kadar vaksinasi Malaysia, beliau memaklumkan bahawa hingga 6 Februari 2022, sejumlah 25 720 902 atau bersamaan dengan 78.8 peratus penduduk Malaysia yang berumur 12 tahun dan ke atas telah menerima dos lengkap vaksin COVID-19 manakala sebanyak 33 599 atau 1 peratus kanak-kanak berumur lima tahun hingga 12 tahun telah menerima dos pertama vaksin COVID-19. Seterusnya, sejumlah 12 361 663 atau 52.8 peratus penduduk Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19.
“KKM amat menggalakkan penduduk Malaysia untuk mendapatkan dos penggalak dengan seberapa segera bagi melindungi diri, keluarga dan negara, terutamanya dengan peningkatan kes yang mendadak pada masa ini,” katanya dalam sidang media tersebut.
Hingga kini, terdapat lebih kurang 32 peratus atau 1 juta golongan warga emas yang masih belum mengambil dos penggalak. Sehubungan dengan itu, KKM memohon supaya golongan tersebut segera mendapatkan dos penggalak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ada di seluruh negara. KKM juga memaklumkan bahawa individu yang berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac yang berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022.
Bagi penjagaan klinikal kes COVID-19, rakyat Malaysia dinasihatkan agar menjalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala dan memuat naik keputusan sama ada positif atau negatif dalam aplikasi MySejahtera. Individu yang positif COVID-19 kategori 1 (tidak bergejala) dan kategori 2A (bergejala ringan) serta tidak berisiko tinggi (60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai sebarang komorbid) tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC). Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat untuk penilaian akan dimaklumkan sama ada melalui aplikasi MySejahtera ataupun dihubungi oleh pihak CAC. Tempoh kuarantin bagi individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif COVID-19 ialah lima hari bagi individu yang telah menerima dos penggalak, tujuh hari bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan 10 hari bagi individu yang belum lengkap vaksinasi atau masih belum divaksinasi.
Bagi mengurangkan kesesakan di CAC, semua individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif termasuklah yang belum divaksinasi hanya akan diberikan Home Surveillance Order (HSO) digital dan menjalani kuarantin di rumah masing-masing. Sekiranya bergejala, individu tersebut perlu melakukan ujian kendiri tanpa perlu hadir ke CAC.
“Semua klinik kesihatan di bawah KKM telah bersedia untuk menerima kedatangan pesakit yang ramai. Hingga 7 Februari 2022, terdapat 370 buah CAC di klinik kesihatan dan komuniti yang sedang beroperasi untuk membuat penilaian pesakit positif COVID-19,” tambah Khairy.
Selain vaksinasi dan isolasi, KKM juga dalam proses membangunkan COVID-19 Clinical Care Pathway. Tujuannya adalah untuk memulakan ubat antiviral terkini yang akan diberikan kepada pesakit COVID-19 berisiko tinggi pada peringkat lebih awal bagi mencegah jangkitan daripada menjadi lebih teruk. Rawatan ini akan meliputi pesakit di klinik kesihatan, CAC, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), dan hospital bagi pesakit yang dimasukkan ke dalam wad. Rawatan antiviral ini akan dimulakan setelah bekalan ubat tersebut tersedia.
Mengakhiri sidang medianya, beliau menyeru masyarakat Malaysia untuk mendapatkan dos penggalak daripada PPV berhampiran. KKM juga menggalakkan para majikan meneruskan amalan Bekerja Dari Rumah (BDR) dan penggiliran kerja kerana kedua-dua kaedah tersebut dapat mewujudkan persekitaran yang selamat di tempat kerja. Para majikan juga perlu membantu pekerja masing-masing melaksanakan ujian kendiri dengan menyediakan kit ujian COVID-19. Hal ini adalah penting untuk mengimbangi kesihatan awam dan pemulihan ekonomi Malaysia.