Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Genus Hibiscus merujuk tumbuhan berbunga daripada famili Malvaceae. Genus ini agak besar serta mempunyai beberapa ratus spesies dan varieti. Tumbuhan daripada genus ini merupakan tumbuhan natif yang boleh dijumpai di negara bersuhu sederhana panas ke panas, subtropika dan tropika di seluruh dunia. Genus Hibiscus terdiri daripada tumbuhan herba tahunan dan saka, serta pokok renek berkayu dan pokok kecil. Bunga raya yang dikenali sebagai bunga kebangsaan Malaysia atau nama botaninya Hibiscus rosa-sinensis juga merupakan satu daripada spesies daripada genus Hibiscus.

Pokok laki pukul bini atau nama botaninya Hibiscus mutabilis merupakan satu daripada tumbuhan dalam genus Hibiscus. Nama lain bagi pokok ini ialah pokok ros Cina, mati laki mati bini, ros Sharon, botan, landak baru dan ros Dixie.

Daun laki pukul bini berbentuk kordat dengan tiga hingga tujuh lobus.

Pokok laki pukul bini merupakan pokok renek yang boleh mencapai ketinggian lima meter. Daunnya berwarna hijau serta berbentuk kordat dan mempunyai tiga hingga tujuh lobus. Batang dan bahagian abaksial pada daun pokok ini mempunyai trikom halus yang padat. Bunganya mempunyai empat hingga lima petal.

Keunikan spesies pokok laki pukul bini ini terletak pada ciri bunganya yang boleh berubah-ubah kepada warna yang berbeza mengikut waktu. Bunganya akan berwarna putih pada sebelah pagi, kemudiannya bertukar kepada merah jambu pada waktu tengah hari dan berubah pula menjadi warna merah jambu pekat pada lewat petang.

Bunga laki pukul bini pada waktu pagi.
Bunga laki pukul bini pada waktu petang.

Perubahan warna bunga pada pokok laki pukul bini disebabkan oleh kehadiran sebatian flavonoid dan antosian yang disintesis secara progresif pada bahagian bunga. Pada waktu pagi, bunga pokok laki pukul bini mengandungi pigmen isoquercetin, hypperoside, rutin, kuersetin-4-glikosida dan quercimeritin, manakala pada sebelah petang bunga tersebut mengandungi sianin, sianin-3-sambubioside dan cyaniding. Fenomena perubahan warna ini dipercayai untuk menarik minat pendebunga yang terdiri daripada pelbagai spesies serangga seperti lebah, kelulut dan sebagainya.

Perubahan warna bunga ikut waktu, iaitu pada pukul 8.00 pagi (A), pukul 10.00 pagi (B), pukul 11.00 pagi (C), pukul 12.00 tengah hari (D), pukul 4.00 petang (E), pukul 6.00 petang (F).

Pokok laki pukul bini mempunyai banyak manfaat yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Selain itu, pokok ini juga sesuai dijadikan sebagai tanaman hiasan kerana morfologi daun dan bunganya yang menarik, saiznya yang sederhana dan mudah dibiakkan melalui kaedah keratan batang.

Pokok laki pukul bini mempunyai banyak kegunaan dalam perubatan tradisional terutamanya dalam kalangan masyarakat orang Melayu dan orang asli di Malaysia. Antara khasiat bunga laki pukul bini yang pernah direkodkan ialah air rebusan bunga keringnya dipercayai boleh digunakan untuk merawat masalah berkaitan pernafasan.

Daun pokok laki pukul bini dikatakan boleh digunakan untuk meredakan bengkak pada badan. Cara penyediaannya termasuklah dengan menumbuk daun laki pukul bini sehingga hancur dan ditampal pada bahagian yang bengkak. Selain digunakan untuk melegakan kesakitan dan penyejuk badan, air rebusan daun dan bunga laki pukul bini juga digunakan untuk merawat batuk, kahak, hingus, dan masalah membuang air kecil.

Jika dilihat dari sudut penggunaan pokok laki pukul bini untuk perubatan tradisional, maka wajar kajian secara saintifik dilakukan bagi melihat potensi spesies ini sebagai sumber bahan ubat-ubatan alternatif. Kajian fitokimia menunjukkan bahawa terdapat 10 sebatian ditemui dan sembilan daripadanya merupakan asid tetracosanoic, iaitu sitosterol, daucosterol, asid salisilik, emodin, rutin, kaempferol-3-O-rutinosida, kaempferol-3-O-robinobinoside dan kaempferol-3-O-D-(6-E-p-hydroxycinnamoyl)-glukopiranosida. Sebatian yang ditemui ini juga menunjukkan perkaitan dengan potensi antimikrob dan antioksidan terutamanya pada bahagian daun spesies ini.

Oleh yang demikian, jelas menunjukkan bahawa spesies ini mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan menjadi sumber bahan perubatan berasaskan tumbuh-tumbuhan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.