Oleh Norsuhana A.H.
17 Januari 2022, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berita kematian orang asli di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan yang dibaham harimau baru-baru ini dan kelibat harimau yang berkeliaran berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Balar memberikan petanda bahawa habitat raja rimba ini sedang diancam dan diceroboh. Fungsi utama ekosistem hutan yang menyimpan pelbagai khazanah flora dan fauna telah diganggu dan berlakunya ketidakseimbangan ekologi dan memberikan kesan terhadap penghuni yang mendiaminya. Isu pembalakan hutan yang berleluasa tanpa memikirkan kelestarian alam telah mengganggu habitat harimau.

Pemangsa yang sedia ada, iaitu haiwan yang lebih kecil seperti kancil, pelanduk atau rusa semakin berkurangan jumlahnya. Hal ini menyebabkan harimau keluar daripada habitat asalnya untuk mencari sumber makanan yang baharu. Gangguan ekologi hutan menjadi semakin parah apabila berlakunya fenomena perubahan cuaca dunia disebabkan oleh kesan pemanasan global, misalnya hujan tanpa henti sehingga mengakibatkan banjir. Harimau akan berkeliaran untuk mencari pemangsa di pinggir hutan yang didiami oleh penduduk asal, iaitu orang asli. Perkara ini sekali gus menyebabkan berlakunya konflik antara harimau dengan manusia.

Sejak tahun 2016 lagi, isu pembalakan haram di kawasan perkampungan orang asli telah dilaporkan. Pada tahun tersebut, Persatuan Pembalak Kelantan telah mendakwa terdapat sejumlah 15 buah syarikat pembalakan yang memegang lesen konsesi balak mengalami kerugian hampir RM50 juta selepas dihalang oleh sekumpulan orang asli untuk membawa keluar 50 000 tan metrik kayu balak yang ditebang di Hutan Simpan Balah.

Situasi ini berlaku ekoran daripada penahanan lori balak oleh orang asli daripada membawa keluar balak yang telah ditebang. Penebangan balak yang berleluasa tanpa memikirkan kelestariannya telah menyebabkan alam sekitar musnah. Bukan itu sahaja, keadaan ini memberikan kesan terhadap orang asli untuk menyara kehidupan mereka yang bergantung pada hasil hutan. Lebih menyedihkan lagi apabila nyawa mereka turut terancam apabila haiwan liar keluar daripada habitatnya dan menjadikan manusia sebagai sumber makanan.

Antara tahun 1991 hingga tahun 2007, terdapat 2560 aduan telah dilaporkan oleh orang ramai berkaitan dengan harimau, termasuklah laporan kelihatan kelibat harimau berkeliaran berhampiran dengan kampung atau ladang. Hampir saban tahun terdapat laporan bahawa riwayat hidup harimau akan berakhir apabila terpaksa ditembak oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) semasa proses penangkapan.

Harimau Malaya atau nama saintifiknya, Panthera tigris jacksoni tergolong dalam keluarga Felidae dan genus Panthera. Nama jacksoni diambil daripada nama seorang konservator harimau, iaitu Peter Jackson. Laporan daripada PERHILITAN mendapati bahawa jumlah spesies haiwan ini di Malaysia setiap tahun semakin berkurangan. Hingga kini, jumlahnya adalah kurang daripada 200 ekor. Jika dibandingkan dengan keluasan hutan di Malaysia, populasi haiwan ini seharusnya berjumlah 500 ekor hingga 1000 ekor. Harimau Malaya telah dikategorikan sebagai haiwan yang terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi.

Faktor perdagangan haram adalah satu daripada punca perkara ini terjadi. Harimau diburu disebabkan oleh bahan berasaskan haiwan ini digunakan sebagai bahan zooterapi. Sebagai contohnya, tulang harimau dicampurkan dengan arak digunakan bagi menyembuhkan penyakit. Berdasarkan laporan The Wildlife Trade Monitoring Network pada tahun 2007, Malaysia merupakan antara negara yang terlibat dalam aktiviti perdagangan haram ini. Walau bagaimanapun, terdapat kajian terkini yang dilakukan oleh Loke et al. mendapati bahawa harimau merupakan satu daripada haiwan selain gajah yang tidak menjadi bahan buruan etnik orang asli Jahai dan Temiar. Dalam Akta Hidupan Liar 2010, harimau tidak termasuk dalam senarai haiwan yang boleh diburu oleh orang asli.

Sementara itu, PERHILITAN melaporkan bahawa sebanyak 222 orang pemburu haram ditangkap dan 1132 jerat telah dimusnahkan, dengan nilai sitaan berjumlah RM4.55 juta yang berlaku pada tahun 2019 hingga tahun 2021 dalam Operasi Bersepadu Khazanah melalui Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan. Program ini melibatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Perbadanan Taman Negeri Perak dan Johor serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dalam penguatkuasaan Akta 716. Selain itu, tindakan pengukuhan BP3 melalui program VeTOA yang melibatkan veteran Angkatan Tentera Malaysia dan orang asli dilaksanakan dalam usaha membanteras pencerobohan, pembalakan haram dan pemburuan hidupan liar.

Pada 16 Jun 2021, jemaah menteri telah menggariskan sembilan tindakan strategik konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun bermula pada tahun 2021 hingga tahun 2030 yang melibatkan tiga pendekatan, iaitu:

  1. Mengukuhkan rondaan penguatkuasaan dan pengawalan serta pemeliharaan dan pemuliharaan habitat.
  2. Penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya, Unit Konservasi Harimau Malaya di PERHILITAN, Biro Jenayah Hidupan Liar (Polis Diraja Malaysia) dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai pusat kecemerlangan konservasi eksitu Harimau Malaya.
  3. Memperkasakan inisiatif bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya melalui penyediaan instrumen kewangan inovatif dan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.

Pada asasnya, kelestarian harimau ini hanya memerlukan tiga perkara utama, iaitu habitat yang berkanopi, sumber makanan (pemangsa) dan sumber air yang mencukupi. Oleh itu, hal ini jelas menunjukkan bahawa ekosistem alam merupakan perkara utama yang perlu dipelihara dan dipulihara daripada pembalakan melampau sama ada secara sah ataupun haram dan aktiviti pemburuan haram terhadap sumber makanan harimau.

Perkara ini penting bagi memastikan raja rimba yang menjadi simbol negara kita tidak pupus dalam tempoh lima tahun hingga 10 tahun akan datang, sepertimana pupusnya harimau Bali, Caspian dan Java. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama untuk menjaga kelestarian raja rimba ini daripada pupus akibat tindakan negatif segelintir masyarakat.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Rancangan Biologi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.