11 Januari 2022, 15:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mata ialah organ untuk mengesan cahaya. Mata berbentuk hampir sfera dan berisi cecair berlendir jernih yang dikenali sebagai gelemaca. Secara umumnya, mata berfungsi untuk memastikan kawasan di sekeliling berada dalam keadaan terang atau gelap. Dalam konteks yang lebih khusus, mata bertindak sebagai deria penglihatan.

Mata mempunyai dua bahagian, iaitu bahagian luar dan bahagian dalam. Kedua-dua bahagian ini memiliki peranan dan fungsinya yang tersendiri dan saling bergantung antara satu sama lain. Organ ini perlu diberikan perhatian dan penjagaan rapi agar fungsinya memberikan daya penglihatan tidak terganggu. Kerosakan fungsi mana-mana bahagian mata memberikan impak yang sangat mendalam kepada kehidupan manusia dari sudut fizikal, emosi, dan rohani.

Struktur Mata

Bahagian luar mata terdiri daripada empat jenis organ aksesori, iaitu kelopak mata, bulu mata, kening dan kelenjar mata.

  • Kelopak mata: Lapisan nipis kulit yang berfungsi melindungi dan menutupimata serta memastikan mata berada dalam keadaan terkawal. Mata mengandungi otot yang secara sistematik dapat menarik kelopak mata untuk membuka mata secara sukarela atau secara paksa. Kelopak mata melindungi bahagian dalam mata dan mengelakkan bahan asing daripada mencemari dan menyakiti mata. Kelopak mata juga memastikan air mata merebak secara tetap di permukaan mata supaya mata sentiasa dalam keadaan lembap.
  • Bulu mata: Rerambut halus yang memagari pinggir kelopak mata ini berfungsi melindungi mata daripada ancaman debu dan segala jenis kotoran daripada masuk ke dalam mata. Sifat bulu mata yang sensitif memberikan petunjuk tentang bahaya yang ada di sekitar mata seperti objek tajam dan kehadiran serangga.
  • Kening: Kening atau kadangkala disebut sebagai alis berfungsi untuk memastikan air seperti peluh dan kotoran tidak masuk ke dalam mata. Bentuk kening yang melengkung dapat memastikan bahan yang jatuh ke muka terus mengalir ke tepi wajah dan tidak terkena pada mata. Kening juga menjadi mewakili ekspresi dan emosi individu sewaktu komunikasi bukan lisan berlaku.
  • Kelenjar Mata: Kelenjar lakrimal memainkan peranan dalam penghasilan air mata, membasahi dan memastikan mata sentiasa dalam keadaan lembap. Kelenjar meibomia yang terletak di kelopak mata bawah pula mengeluarkan minyak dan membantu melembabkan permukaan hadapan bola mata.

Bahagian dalam mata terdiri daripada beberapa komponen yang fungsinya berkesinambungan. Komponen bahagian dalam mata dengan fungsinya adalah seperti yang berikut:

  • Sklera: Bahagian putih mata dan berada pada kedudukan paling luar yang melindungi kandungan mata.
  • Koroid: Lapisan kedua atau bahagian tengah mata yang kaya dengan salur darah. Koroid membekalkan nutrien kepada retina dan mencegah terjadinya pantulan cahaya yang berkemungkinan masuk ke dalam bahagian bola mata.
  • Retina: Struktur nipis dan lut cahaya serta penting untuk melihat atau menangkap cahaya. Retina menukarkan cahaya kepada impuls untuk dihantar ke otak.
  • Iris: Komponen yang terletak di belakang kornea dan berada di depan kanta. Iris memberikan warna pada mata.
  • Pupil: Bukaan kepada iris dan berfungsi dalam mengawal jumlah cahaya yang memasuki mata.
  • Kanta: Kanta berbentuk dwicembung dan penting untuk membias dan memfokuskan cahaya ke atas retina.
  • Bintik kuning: Lekukan pada retina dan tempat berkumpulnya reseptor.
  • Bintik buta: Bahagian dalam mata yang tidak peka kepada cahaya.

 

Masalah Penglihatan

Masalah penglihatan merujuk masalah yang melibatkan fungsi sebagai deria penglihatan yang disebabkan oleh penyakit mata, kecederaan atau abnormaliti struktur mata sejak lahir.  Hal ini menghalang penglihatan normal atau ketajaman penglihatan pada satu atau kedua-dua belah mata. Penyakit mata boleh menyebabkan masalah penglihatan menjadi serius dan boleh membawa kematian jika tidak diberi rawatan segera. Antara masalah penglihatan yang biasa dalam kalangan masyarakat adalah seperti yang berikut:

  • Mata kering: Penyakit mata yang terjadi pada sesiapa sahaja dan boleh menyerang pada bila-bila masa. Umumnya, gangguan ini sering menyerang kaum wanita akibat perubahan hormon yang disebabkan oleh kehamilan, penggunaan pil kontraseptif dan menopaus. Gejala umum gangguan termasuklah pedih, mata merah, tidak selesa dan terasa seperti terdapat bendasing dalam mata, serta gatal. Mata kering dapat diatasi dengan menitiskan ubat titis mata untuk meningkatkan pengeluaran air mata. Faktor penyebab gangguan ini ialah kekurangan pengeluaran air mata yang disebabkan oleh jangkitan, radang, alergi, kekurangan nutrisi, kesan pengambilan ubat dan terdedah kepada pencemaran di udara.
  • Katarak: Masalah yang berlaku apabila kanta mata menjadi keruh dan berkabus. Katarak lazimnya berlaku pada warga emas. Katarak adalah satu daripada sebab yang menyebabkan kebutaan di dunia. Pada kebiasaannya, cahaya yang memasuki mata akan melalui kanta sebelum sampai ke retina. Kanta mestilah jelas untuk retina menerima imej yang tepat sebelum ditukarkan menjadi isyarat saraf yang dihantar ke otak. Sekiranya kanta berkabus, imej yang dlihat akan kabur dan tidak jelas. Gejala katarak bermula dengan penglihatan yang kabur, silau dan sensitif terhadap cahaya terang dan penglihatan imej berganda. Katarak hanya boleh dirawat melalui pembedahan. Kemajuan teknologi telah membawa kepada kaedah baru bagi pembedahan katarak dan menjadikan prosedur ini sangat selamat dengan kesan sampingan jarang berlaku.

Kepentingan Menjaga Mata

Pada saat dunia dilanda pandemik COVID-19, organ mata perlu diberikan perhatian serius. Virus COVID-19 tidak hanya memberikan kesan kepada sistem pernafasan, sebaliknya virus tersebut juga mampu tersebar ke seluruh organ utama dalam badan manusia termasuklah melalui mata. Virus ini mampu berkumpul dan berkembang sebagai selaput lendir pada permukaan, kelopak dan bahagian dalam mata yang sekali gus mempengaruhi penglihatan.

Menurut kajian, hampir 18 peratus pesakit COVID-19 mengalami masalah sensitif terhadap cahaya yang dikenali sebagai fotofobia. Keadaan ini menjadikan mata menjadi sensitif yang melampau terhadap cahaya dan pesakit akan cuba mengelak daripada cahaya matahari atau tempat terang. Hal ini mengakibatkan pesakit mengalami gangguan penglihatan dan biasanya disertai dengan sakit kepala.

Tanggungjawab untuk memelihara kesihatan mata tidak sepatutnya dilupakan.  Penjagaan kesihatan dan pemakanan seimbang amat penting untuk memastikan mata dapat berfungsi dengan baik. Amalan makan makanan yang kaya dengan vitamin A dan vitamin C seperti susu, lobak, brokoli, aprikot, dan anggur dapat menjaga kesihatan mata. Pemeriksaan mata secara berkala amat penting dan perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat untuk mengetahui status penglihatan masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.