29 Disember 2021, 14:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sering kali orang ramai mendengar bahaya strok atau angin ahmar yang menyerang dalam kalangan orang tua mahupun muda. Strok merupakan satu antara penyebab utama kematian dan ketidakupayaan di Malaysia. Masyarakat umumnya terdedah kepada risiko strok atas faktor seperti tekanan darah tinggi dan tahap kolesterol yang tinggi di dalam badan.

Strok berlaku apabila aliran darah ke bahagian otak terganggu dan menghalang bekalan oksigen sampai ke sel otak. Keadaan ini mengakibatkan kerosakan pada fungsi otak dan menyebabkan bahagian badan yang dikawal oleh bahagian otak tidak berfungsi, kehilangan memori, pengurangan pada kederiaan sakit atau suhu, gangguan emosi, dan masalah psikologi. Amat membimbangkan lagi, kebanyakan pesakit strok memerlukan tempoh pemulihan yang agak panjang sebelum dapat pulih kepada keadaan kendiri sebelumnya.

Kebanyakan pesakit strok mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan. Pesakit yang diserang strok disarankan untuk mengamalkan senaman yang bersesuaian untuk mengembalikan keupayaan pergerakan yang sudah kurang. Senaman merupakan satu daripada proses rehabilitasi untuk membantu pesakit strok mencapai tahap kefungsian dan kecergasan fizikal yang optimum. Senaman merupakan subset daripada aktiviti fizikal yang perlu dilakukan secara berulang-ulang mengikut kesuaian pesakit strok. Perkara penting bagi kecergasan fizikal termasuklah kecergasan kardiorespiratori dan kekuatan otot untuk melakukan aktiviti seharian. Pada kebiasaannya, tahap kecergasan fizikal pesakit terjejas selepas diserang strok. Kecergasan kardiorespiratori pesakit strok akan menurun pada kadar 50 peratus berbanding dengan individu yang sihat walaupun pada umur dan jantina yang sama.

Beberapa bentuk senaman untuk pesakit strok perlu menggabungkan komponen kardiorespiratori, iaitu berjalan dan latihan kekuatan otot terutamanya otot bahagian atas anggota badan. Aktiviti senaman secara kendiri mahupun berkumpulan dalam kalangan pesakit strok disarankan bagi meningkatkan kesungguhan dan momentum senaman secara berpanjangan. Selain daripada keseronokan melakukan senaman, pesakit strok juga mendapat kelebihan daripada aspek peningkatan kecergasan dan kognitif, kekuatan otot dan keseimbangan badan, kestabilan emosi dan peningkatan kualiti kehidupan selepas mengalami strok.

Pesakit yang menghidap strok berisiko untuk duduk berpanjangan dan tidak aktif. Pesakit strok digalakkan untuk melakukan aktiviti fizikal dengan cara selamat. Sebagai contohnya, aktiviti berjalan selepas pemulihan selepas strok amatlah disarankan.Terkini, peranti sistem robotik dan alat mekanikal yang dikendalikan secara elektrik atau elektromekanik telah dibangunkan untuk membantu pesakit strok meningkatkan langkah dan corak berjalan.

Aktiviti berjalan ialah pergerakan yang mencetuskan rangsangan dan meningkatkan aliran oksigen ke otak. Aktiviti berjalan selepas strok sangat bermanfaat kerana otak memerlukan rangsangan untuk mempelajari semula gerakan yang telah hilang. Berjalan juga meningkatkan kekuatan otot yang mungkin mengalami atrofi akibat strok.

Kesan strok ringan selalunya mudah diatasi namun strok yang lebih serius berkemungkinan mengakibatkan hilang upaya yang teruk dan kekal. Justeru, sokongan dan bantuan emosi daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan petugas kesihatan amatlah penting kerana boleh membantu dalam proses pemulihan pesakit strok. Fisioterapi boleh membantu dan menyokong agar pesakit strok lebih berdikari selepas menerima rawatan dan latihan. Ahli fisioterapi sentiasa menggalakkan aktiviti fizikal dalam kalangan pesakit strok agar dapat meningkatkan tahap kesihatan dan membantu kestabilan emosi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.