Oleh Azizi Ahmad
25 September 2021, 23:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut kajian baharu, kelawar mungkin boleh menewaskan COVID-19. Mamalia ini dikatakan mempunyai kekebalan yang luar biasa, yang melindungi mereka daripada virus maut ini.

Para saintis di Australia berpendapat bahawa seandainya rahsia kejayaan kelawar yang  bebas daripada jangkitan COVID-19 diperoleh, hal ini  akan memberikan harapan kepada kita tentang penawar virus tersebut. Penyelidik menyatakan bahawa kelawar turut dijangkati COVID, tetapi tidak jatuh sakit.

Profesor Marcel Nold dari Universiti Monash dalam siaran media menyatakan bahawa “Mencegah perkembangan penyakit yang teruk, atau mengubatinya dengan berkesan, dengan kata lain, meniru cara kelawar, akan melegakan penderitaan dan menyelamatkan nyawa.”

Kelawar turut dijangkiti dengan SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19, tetapi jangkitan tersebut tidak menimbulkan gejala pada paru-paru atau organ lain walaupun virus yang sama memberikan kesan buruk kepada manusia. Kesan rintangan ini mungkin dapat digunakan untuk menyempurnakan tindak balas imun yang sama pada manusia. Hal ini termasuklah meningkatkan protein melawan virus yang dikenali sebagai tindak balas interferon jenis I dan III. Sebaik sahaja virus ini berkembang, bahan kimia keradangan yang disebut inflammasome dapat disekat, meniru apa-apa yang berlaku pada kelawar.

Menurut Profesor Nold, “Keadaan ini dapat meminimumkan keradangan yang berlebihan, keletihan kekebalan tubuh, dan radang sitokin yang dialami oleh manusia.” Ada sesetengah orang yang percaya bahawa COVID-19 sebenarnya berasal daripada kelawar, yang dipindahkan kepada manusia melalui binatang lain, yang belum dikenali. Penyakit lain, termasuklah SARS, MERS dan Ebola juga dianggap menyerang manusia dengan cara ini. Walau bagaimanapun, ahli ekologi dan ahli konservasi turut mengingatkan orang ramai bahawa kelawar tidak boleh dianiaya atas alasan tersebut.

Kelawar penting untuk keseimbangan alam. Kebanyakan kelawar ialah agen pendebungaan serta  penyebaran biji benih dan insektivora yang memakan berjuta-juta tan serangga setiap malam.

Pengetahuan tentang genom kelawar akan membantu menjelaskan cara haiwan itu menanglis jangkitan koronavirus yang pada masa akan datang dapat membantu manusia memerangi virus ini.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.