27 Ogos 2021, 14:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penyakit resdung walaupun tidak berbahaya, tetapi memberikan kesan terhadap kualiti hidup. Sembang Tamu: Sembang Sihat Siri 3: Resdung anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dengan kerjasama Persatuan Perubatan Islam Malaysia mengupas masalah yang disiarkan secara langsung menerusi media sosial DBP.

Dr. Muhammad Yusri Musa, Pakar Otorinolaringologi dan Pensyarah Perubatan, Universiti Sains Malaysia memerihalkan masalah resdung yang merupakan radang rongga hidung atau sinus, terutamanya disebabkan oleh alahan di hidung dan sering disalahertikan atau dikelirukan dengan penyakit lain. Istilah perubatan yang berkaitan dengan resdung ialah rhinitis, sinusitis dan rhinosinusitis.

Tambah beliau, resdung boleh disebabkan oleh faktor genetik atau keturunan yang sememangnya sudah ada kecenderungan alahan. Selain itu, persekitaran, jangkitan kuman dan pencemaran juga menjadi punca penyakit resdung.

Berdasarkan kajian, sebanyak 60% hingga 70% alahan yang paling kerap berlaku hingga menyebabkan seseorang itu mengalami resdung ialah alahan terhadap hama rumah. Hama rumah ialah mikroorganisma seperti habuk debu karpet, langsir, dan sebagainya. Hama yang dihidu akan masuk ke dalam hidung hingga menyebabkan radang, maka berlakulah simptom resdung.

Menurut beliau, gejala resdung yang utama, antaranya termasuklah gatal hidung, bersin dengan kerap dan melebihi daripada kebiasaan, hidung berair, dan hidung tersumbat. Seseorang itu mengalami penyakit resdung apabila dijangkiti tanda resdung seperti bengkak dalam hidung, septum bengkok, mata merah, dan terdapat keradangan dalam hidung.

Rancangan Sembang Tamu: Sembang Sihat Siri 3: Resdung bersama-sama Dr. Muhammad Yusri Musa yang berlangsung secara dalam talian.

Menurut Muhammad Yusri lagi, terdapat penyakit lain yang dikaitkan atau dikelirukan dengan penyakit resdung, antaranya termasuklah polips (nasal polyps), tulang atau rawan hidung bengkok, tonsil bengkak, telinga bernanah atau berair, jerawat, ekzema atau ruam pada kulit muka. Kesemua penyakit ini boleh berlaku kepada pesakit yang mengalami resdung dan perlu dirawat.

Beliau juga menjelaskan beberapa jenis penyakit yang dikaitkan secara salah sebagai resdung. Antaranya termasuklah kanser hidung dan sinus, ketumbuhan, obstructive sleep apnea, trauma, dan kemasukan benda asing ke dalam hidung. Rawatan bagi penyakit ini tidak sama dengan rawatan penyakit resdung kerana kesemua penyakit ini bukan tergolong dalam penyakit resdung. Perkara ini perlu diketahui umum bagi mengelakkan pesakit mengambil rawatan yang salah.

Muhammad Yusri berkata, “Penyakit resdung boleh dirawat bagi mengurangkan gejala dengan pelbagai kaedah, antaranya termasuklah mengelakkan faktor alahan dengan cara menjaga kebersihan diri, rumah dan persekitaran, menggunakan pelitup muka ketika membersihkan rumah dan sebagainya, sentiasa mencuci hidung, melakukan sedutan wap (menthol steam inhalation), menggunakan ubatan atas nasihat doktor atau melakukan pembedahan. Diagnosis dan rawatan awal ialah pilihan terbaik untuk mengelakkan komplikasi dan masalah yang lebih kronik.”

Beliau juga menyarankan pesakit melakukan ujian alergi seperti ujian alergi kepada kulit (skin prick test) atau melakukan ujian alergi melalui darah (serum imunoglobulin E).

Ujian alergi.

Kajian membuktikan bahawa jika seseorang itu mempunyai satu daripada penyakit yang berkaitan dengan alahan sama ada asma, ekzema ataupun alahan hidung, jika tidak dirawat lebih awal, kemungkinan risiko untuk mendapat resdung adalah lebih tinggi.

Sebelum mengakhiri bicara, Muhammad Yusri menasihati orang ramai agar berjumpa dengan doktor sebaik-baiknya pakar telinga, hidung dan tekak untuk pengesahan dan mendapat nasihat yang betul tentang penyakit resdung. Penyakit resdung ialah penyakit sepanjang zaman dan tidak dapat dihilangkan, tetapi boleh dikurangkan komplikasinya.

Rancangan Sembang Tamu: Sembang Sihat Siri 3: Resdung boleh ditonton di sini.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.