Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSebagai jabatan yang bertanggungjawab menjadi penyebar maklumat, kemahiran dan idea bernas bagi pembangunan minda masyarakat ke arah penghayatan persekitaran alam semula jadi secara berterusan, maka Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi, Sekretariat Majlis Debat Universiti Awam (MADUM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Pertandingan Debat Alam Sekitar antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pada kali ke-27.
Bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia, maka pertandingan debat pada kali ini akan diadakan mengikut norma baharu, iaitu melalui kaedah dalam talian. Mengikut perancangan, pertandingan ini akan berlangsung selama lima hari, iaitu 14 Ogos 2021 hingga 17 Ogos 2021 bagi pusingan awal dan pusingan separuh akhir, dan 21 Ogos 2021 bagi pusingan akhir.
Objektif pertandingan ini diadakan, antaranya termasuklah untuk menerapkan pembudayaan dan kecintaan alam sekitar ke arah kelestarian dan meningkatkan pengetahuan mengenai isu alam sekitar, di samping mencungkil bakat berpidato dalam kalangan mahasiswa.
Pada hari ini, 5 Ogos 2021 sesi taklimat dalam talian diadakan kepada para hakim yang terdiri daripada wakil dari JAS, MADUM dan DBP. Taklimat yang diadakan dari pukul 9.30 pagi hingga 5.00 petang ini dirasmikan oleh Yang Berusaha Dr. Norhazni Mat Sari, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), JAS. Menurut Dr. Norhazni, walaupun negara masih berhadapan dengan situasi pandemik yang teruk, namun pertandingan debat dalam kalangan IPT tetap mendapat sambutan yang baik. Selain itu, beliau turut mengingatkan agar selain menyentuh isu alam sekitar, perlu dititikberatkan juga hal yang berkaitan dengan patriotisme. Hal ini demikian kerana pertandingan ini akan berlangsung pada bulan Ogos bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-64.
Sesi taklimat hakim dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Puan Zuraini Ahmad Tajudin, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, JAS, diikuti sesi taklimat pertama bersama-sama ketua hakim, iaitu Tuan Nazru Haji Ismail (MADUM). Sesi taklimat kedua diteruskan oleh Puan Mizan Muhammad (MADUM) yang menyentuh aspek teknikal debat. Sesi penerangan berkaitan dengan aspek sistem pula disambung oleh Encik Badrulhisam Che Kasim (MADUM) sebelum diserahkan kepada Encik Ghani Abu, Ketua Bahagian Multimedia, DBP yang akan menerangkan dari aspek bahasa dan debat dalam sesi taklimat yang ketiga. Sesi taklimat keempat merupakan sesi khas bersama-sama JAS oleh Puan Mazriah Ayu Abu Bakar dan Encik Noor Sufianhadi Ramli.
