22 Jun 2021, 14:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia menyebabkan berlakunya perubahan besar dalam kehidupan masyarakat. Kebanyakan negara telah mengambil langkah yang proaktif dalam menangani wabak ini daripada terus menular. Sebagai contohnya, di Malaysia, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula sejak 18 Mac 2020. Pelaksanaan PKP ternyata meninggalkan kesan yang cukup besar bukan sahaja dari aspek fizikal, tetapi juga aspek mental masyarakat Malaysia.

Kajian psikologi yang dijalankan mengenai Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS), mendapati bahawa tempoh PKP atau kuarantin mempunyai hubungan signifikan dengan isu psikologi seperti tekanan emosi. Secara psikologinya, seseorang itu akan cenderung menghadapi corak pemikiran negatif yang boleh menjejaskan emosi mereka sepanjang pelaksanaan PKP. Penaung Pertubuhan Befrienders Kuala Lumpur, Tan Sri Lee Lam Thye menyatakan bahawa COVID-19 dilihat membawa ketakutan, kebimbangan dan tekanan melampau dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.

Secara umumnya, kesan psikologi kuarantin, antaranya termasuklah simptom pascastres traumatik, kemurungan, gangguan emosi, keresahan yang menyebabkan insomnia, kekeliruan, kecenderungan pengambilan bahan terlarang, dan kemarahan. Hal ini berpunca daripada ketakutan dijangkiti wabak, kehampaan, kebosanan akibat kuarantin yang terlampau lama, stigma, bekalan makanan tidak cukup, maklumat tidak lengkap, dan kehilangan punca pendapatan. Kaji selidik dalam talian oleh Kajian Pentadbiran dan Politik (Cent-GPS) mendapati bahawa 30% responden kehilangan pendapatan semasa tempoh PKP dilaksanakan.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menyatakan bahawa penyesuaian terhadap PKP boleh membawa kepada keresahan jika tidak difahami dan dimanfaatkan sebaiknya. Hal ini demikian kerana naluri manusia dikaitkan dengan bersosial dan bebas bergerak tanpa sekatan. Situasi ini boleh mendorong berlakunya kes keganasan rumah tangga.

Pelaksanaan PKP di luar negara seperti di India, Perancis dan Australia  menyebabkan peningkatan mendadak kes keganasan rumah tangga. Walaupun kes keganasan rumah tangga di Malaysia dilaporkan sedikit menurun semasa pelaksanaan PKP, tetapi hal ini tetap menimbulkan sedikit kebimbangan. Hal ini demikian kerana mangsa mungkin tidak dapat lari daripada situasi tersebut selain tiada tempat untuk mengadu kerana banyak perkhidmatan yang tidak beroperasi.

Golongan yang paling terjejas emosi ketika pandemik COVID-19 dan PKP ini ialah pekerja barisan hadapan. Petugas kesihatan, polis, tentera, dan sebagainya terpaksa berhempas-pulas bekerja lebih masa dalam usaha menangani pandemik ini. Bebanan kerja yang meningkat hingga kurangnya masa rehat menyebabkan petugas kesihatan semakin letih dan lesu. Menurut Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Firdaus Abdul, berita mengenai petugas kesihatan di luar negara yang disyaki menghidap COVID-19 membunuh diri adalah contoh tekanan dan kesan emosi yang ketara.

Tuntasnya, COVID-19 dan pelaksanaan PKP sedikit sebanyak memberikan kesan kepada aspek emosi seseorang. Namun begitu, PKP sebenarnya memberikan kesan minimum kepada kesihatan mental. Kita perlu melihat situasi dan tindakan ini dari sudut positif dan tidak terus berkeluh-kesah menghadapinya. Ambillah peluang dan kesempatan ini untuk meluangkan lebih banyak masa bersama-sama keluarga, mendekatkan diri dengan Tuhan, mengamalkan diet pemakanan yang sihat, bersenam dan beriadah, melakukan pelbagai aktiviti yang baik dan sesuai, dan sebagainya di rumah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.