Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah mengenal pasti sebanyak 31 kawasan panas yang berdepan dengan ancaman tanah runtuh di seluruh Malaysia.
Menurut Ketua Pengarah JMG dalam satu kenyataan, antara kawasan yang terlibat dengan ancaman berkenaan adalah di sekitar Lembah Klang, Tanjung Bungah dan Paya Terubong, Ipoh, Cameron Highlands, Kundasang dan Bau, Sarawak.
JMG telah melaksanakan pemantauan terhadap 254 cerun kritikal di seluruh negara sebagai tindakan kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana geologi tanah runtuh menjelang monsun timur laut yang dijangka bermula pada awal November ini.
Tambah beliau, sebanyak 104 lokasi cerun telah diklasifikasikan sebagai cerun kritikal tahap tinggi, manakala 97 lokasi pula dikategorikan sebagai cerun kritikal tahap sederhana dan 53 lokasi lagi sebagai cerun kritikal tahap rendah.
Berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh JMG, sebanyak 37 cerun telah diambil tindakan mitigasi, manakala 15 cerun lagi sedang diambil tindakan mitigasi dan 202 cerun dalam perhatian untuk tindakan yang selanjutnya.
Sebarang maklumat hasil pemantauan cerun kritikal tersebut telah dibuat kepada agensi berkepentingan bagi tindakan susulan.
Selain itu, JMG juga telah menjalankan pemetaan di tujuh lokasi Taman Eko Rimba (TER) yang berpotensi untuk berlakunya bencana geologi aliran puing, iaitu di Perak (TER Lata Iskandar), Selangor (TER Sungai Tua), Negeri Sembilan (TER Jeram Toi), Pahang (TER Chamang) dan Terengganu (TER Lata Payung, TER Chemerong dan TER Air Menderu).
Laporan pemetaan yang merangkumi peta pengurusan bencana geologi serta cadangan mitigasi dan pemasangan sistem amaran awal aliran puing disediakan oleh pihak berkepentingan.
JMG menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan berisiko seperti kawasan yang pernah mengalami kejadian tanah runtuh agar peka dengan keadaan sekeliling seperti berlakunya runtuhan atau pergerakan kecil cerun tanah, retakan atau rekahan pada dinding, tembok atau tiang rumah serta kesan bonggol, rekahan atau mendapan pada jalan dan pokok yang berterusan condong.
Hubungi JMG atau pihak berkuasa yang berkaitan untuk memberikan maklumat atau mendapatkan bantuan sekiranya terdapat tanda berlakunya ancaman tanah runtuh dan pihak yang bertanggungjawah haruslah sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepakaran teknikal bagi penilaian ancaman tanah runtuh.
Maklumat lanjut serta aduan kepada JMG boleh dilakukan kepada pihak yang menguruskan pelaporan tanah runtuh JMG di ruangan Aduan Bencana dalam portal MyGEMS.