Diterbitkan pada 7 November 2023, 11:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Monsun timur laut (MTL) atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 11 November ini dan berlanjutan hingga Mac tahun hadapan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), dalam tempoh ini, sebanyak empat hingga enam episod hujan lebat dijangka akan berlaku.

Semasa fasa awal MTL, iaitu dari November 2023 hingga Januari 2024, episod hujan lebat dijangka akan berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak tetapi sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri lain di Malaysia.

Dalam kenyataan tersebut juga menyatakan bahawa hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir serta sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko berlakunya kejadian banjir akan menjadi lebih ekstrem.

Selain itu, tiupan angin timur laut yang berpanjangan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan meningkatkan risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Pada fasa akhir MTL, iaitu dari Februari 2024 hingga Mac 2024 pula, kawasan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu, Sabah, Labuan dan utara Sarawak dijangka mengalami kurang hujan.

Keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka bermula Mac 2024 berpotensi menyebabkan berlakunya gelombang haba berikutan fenomena El Nino yang dijangka berterusan hingga pertengahan tahun 2024 dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka berlaku hingga suku pertama tahun 2024.

METMalaysia menasihatkan orang ramai agar bersiap sedia bagi menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh pihaknya melalui portal rasmi METMalaysia, aplikasi myCuaca dan media sosial rasminya.

Orang ramai juga boleh menghubungi METMalaysia di talian 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi