Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) telah menggariskan tiga matlamat utama bagi membanteras gejala dadah secara menyeluruh dan berkesan.
Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiga matlamat utama tersebut meliputi tindakan menghalang penyeludupan dan pengedaran dadah, meluaskan akses kepada rawatan dan pemulihan serta meningkatkan daya tindak daripada bahaya dadah.
“Tindakan membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah bagi menghalang kemasukan dadah ke negara ini akan segera digerakkan dengan menghapuskan jalan tikus dan jeti haram di Perlis, Kelantan dan Kedah,” kata YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kawalan yang lebih ketat perlu dilaksanakan dengan meminda Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pengedar dadah dan pemilik dadah.
Menurutnya, pengukuhan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan bagi memastikan JSJN berupaya membanteras pengedaran dadah dengan lebih sistematik dan komprehensif.
Dalam aspek bekalan dadah yang mudah diperoleh, khususnya secara dalam talian, kerajaan sedang meneliti keperluan mewujudkan peruntukan undang-undang yang boleh mengawal selia semua platform e-dagang bagi membanteras pembelian dan penghantaran dadah melalui aplikasi dalam talian.
Selain itu, usaha meluaskan akses kepada rawatan dan pemulihan pula adalah dengan melihat dua aspek utama, iaitu pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan pindaan jadual Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).
Jelas beliau, sekiranya akses ini dapat disebarluaskan, usaha mengalihkan penyalahgunan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada rawatan dan pemulihan serta merawat penyalahgunaan bahan seperti ketum dan gam dapat dilaksanakan sekali gus mengurangkan stigma dan kesan pemenjaraan kepada penyalahgunaan dadah dan bahan.
Matlamat ketiga pula adalah untuk meningkatkan daya tindak masyarakat daripada bahaya dadah dengan menyediakan pelan strategik dan komunikasi komprehensif yang melaluinya akan meningkatkan keterlibatan masyarakat dan badan bukan kerajaan dalam pencegahan gejala dadah di seluruh negara.
Beliau percaya bahawa penerapan daya tindak segera masyarakat dilihat berupaya memberikan pencegahan awal tentang bahaya dadah kepada masyarakat dengan cara mendidik golongan berisiko melindungi diri daripada terjebak dengan gejala dadah.
Secara keseluruhannya, tiga matlamat utama yang dibentangkan itu telah membawa kepada tujuh keputusan bagi mencapai misi negara ke arah Dadah Terkawal 2025.