Diterbitkan pada 20 Oktober 2023, 09:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Mata Ayer – Setiap individu perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti mengawal pemakanan, memperbanyak aktiviti fizikal, menjaga kesihatan mental dan berehat secukupnya bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti pelbagai penyakit termasuklah kanser payudara sekali gus melahirkan masyarakat yang sihat fizikal dan mental.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan mengetuai program kayuhan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang bermula dan berakhir di pekarangan Masjid Al-Islah Ngulang, Mata Ayer.

Berdasarkan laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016, kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia ialah kanser payudara (19 peratus), kanser kolorektal (13.5 peratus) dan kanser paru-paru (9.8 peratus).

Kanser payudara merupakan kanser yang paling utama dan tertinggi berlaku dalam kalangan wanita, namun golongan lelaki juga terdedah kepada penyakit ini.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ismuni Bohari, kanser payudara berlaku disebabkan oleh faktor risiko tidak boleh dikawal dan faktor risiko boleh dikawal.

Jelas beliau, faktor risiko tidak boleh dikawal merujuk wanita yang berumur 50 tahun ke atas mempunyai lapan hingga 10 kali ganda kemungkinan mendapat kanser payudara berbanding dengan wanita yang lebih muda sekali gus menunjukkan bahawa wanita mempunyai 100 kali ganda risiko menghidap kanser payudara berbanding dengan lelaki serta faktor keturunan.

Selain itu, faktor risiko boleh dikawal pula melibatkan wanita yang menyusukan anak dalam tempoh dua tahun dan wanita yang melakukan senaman berterusan akan mengurangkan risiko mendapat kanser payudara.

Ketulan atau bengkak pada payudara atau bahagian ketiak, kulit payudara menjadi berkedut seperti kulit limau dan kemerahan atau berkeruping pada puting atau kulit payudara merupakan gejala kanser payudara.

Oleh hal yang demikian, beliau menyarankan agar setiap individu perlu menjalankan saringan kanser payudara sebagai langkah berjaga-jaga dan tindakan awal bagi mencegah sebarang kemungkinan.

Dalam program kayuhan itu juga, DYTM Raja Muda Perlis menyampaikan bantuan kepada tiga keluarga asnaf terpilih, iaitu Encik Mohamad Shahrin Ya (43 tahun), Encik Mat Daud Omar (73 tahun) dan Zaid Osman (37 tahun) yang masing-masing menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700 berserta Kit MAIPs Peduli dan beras Fidyah.

DYTM Raja Muda Perlis menyampaikan bantuan kepada keluarga asnaf terpilih.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi