Diterbitkan pada 19 Oktober 2023, 20:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Mata Ayer – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan seluruh rakyat, khususnya di Perlis agar cakna akan kesihatan dan kesejahteraan mental diri sendiri, ahli keluarga serta kakitangan di tempat kerja masing-masing.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, sebanyak 2.3 peratus atau hampir 500 000 orang penduduk di negara ini yang berumur 18 tahun dan ke atas mengalami kemurungan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 4.3 peratus atau hampir 7000 orang penduduk di Perlis menghadapi masalah yang sama.

“Berikutan masalah kesihatan mental di Malaysia yang semakin serius dan kian meruncing, masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing bagi membendung masalah kesihatan berkenaan,” titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menyempurnakan Majlis Sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli yang berlangsung di Masjid Al-Islah, Ngulang, Mata Ayer.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ismuni Bohari menyatakan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis menjalankan pelbagai aktiviti bersempena dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia sepanjang September dan Oktober ini.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah Slot Medik Radio (Perlis FM) berkaitan dengan kesihatan mental dan penyakit mental, Ceramah Kesihatan Mental melibatkan guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis dan aktiviti menarik lain.

Selain menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan mental di semua klinik kesihatan, JKN Perlis juga menawarkan perkhidmatan kaunseling dan sokongan mental oleh pegawai psikologi dan kaunseling di semua klinik kesihatan serta rujukan dan rawatan bagi masalah kesihatan mental kepada pakar psikiatri dan ahli psikologi klinikal di Hospital Tuanku Fauziah.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 70 orang penerima dari kariah Ngulang dan 70 orang penerima lagi dari kariah Perawah telah menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700 setiap seorang daripada pihak MAIPs.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan sumbangan kepada penerima dari kariah Ngulang dan Perawah di Masjid Al-Islah, Ngulang, Mata Ayer.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi