Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Ekspedisi Sumber Air Negara Tahun 2023 telah diadakan bersempena dengan sambutan Hari Sungai Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan untuk berkongsikan ilmu dan pengalaman tentang kepentingan sumber air negara yang perlu dipulihara dan dimanfaatkan secara bijaksana.
Program yang melibatkan sebanyak 120 orang peserta itu mewakili jabatan kerajaan, media dan badan bukan kerajaan.

Pihak penganjur telah menyediakan tujuh lokasi atau terminal untuk peserta menimba pengalaman berkaitan dengan sumber dan penggunaan air di samping sesi pembentangan kertas kerja oleh YBrs. Dr. Chong Khai Lin yang membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Air dan Bencana Alam”, manakala kertas kerja bertajuk “National Water Balance System” dibentangkan oleh YBrs. Ir. Sazali Osman.

Sebagai tanda sokongan dan berkongsi dapatan ekspedisi, urus setia Kembara Bacaton bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-150 Tahun Bandar Taiping akan menyediakan segmen khas, iaitu lawatan ke air terjun Bukit Larut yang menjadi antara sumber bekalan air kepada daerah Larut, Matang dan Selama melalui Sungai Tegoh.



Majlis Penutup Ekspedisi Sumber Air Negara Tahun 2023 telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, YBrs. Ir. Haji Azmi Ibrahim dan sesi penyampaian sijil penyertaan kepada peserta turut diadakan.
Untuk makluman, sambutan Hari Sungai Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan yang bertemakan “Alur Air dalam Komuniti Kita” telah dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui JPS Malaysia dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis di Kompleks Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perlis dengan pengisian pelbagai aktiviti menarik yang mengajak komuniti menghargai kepentingan sungai dalam kehidupan.