Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Susulan kualiti udara dalam negara yang masih merosot dengan peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang tidak sihat, terutamanya di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia, Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) telah dilaksanakan oleh kementerian dan setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu sebagai satu daripada usaha untuk menangani situasi berjerebu di negara ini.
Pelan tersebut mengandungi tindakan spesifik yang perlu diambil oleh setiap agensi berdasarkan tahap amaran tertentu yang ditetapkan mengikut status kualiti udara, iaitu bacaan IPU dan petunjuk kepada kesihatan awam.
“PTJK yang kali terakhir dikemas kini pada tahun 2018 dengan mengambil kira kemasukan parameter PM2.5 dalam bacaan IPU negara itu bertujuan mempercepat tindakan yang perlu diambil oleh agensi yang terlibat apabila berlakunya bencana jerebu,” kata Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, YBhg. Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam satu kenyataan.
Berdasarkan PTJK, beliau berkongsikan tindakan agensi yang perlu dilaksanakan apabila berlakunya bencana jerebu termasuklah Jawatankuasa Pengurusan Bencana diaktifkan pada peringkat daerah, negeri dan pusat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) jika bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam dan menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100.
Selain itu, pihak sekolah, tadika dan taska perlu memantau bacaan IPU dan jika bacaan itu melebihi 200, maka persediaan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang terlibat perlu dilakukan.
Tambah beliau, apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam, operasi pembenihan awan akan dilaksanakan, namun tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai.
Dalam menangani isu jerebu, tindakan yang responsif terhadap usaha yang dikemas kini dalam PTJK akan dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar bersama-sama kementerian dan agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu.