Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Pemeriksaan keselamatan oleh pasukan “Flying Squad” yang dilakukan pada tahun 2021 dan tahun 2022 terhadap lapan empangan berisiko mendapati bahawa empangan berkenaan mengalami kerosakan yang perlu dibaiki selain penyelenggaraan.
Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), kos pembaikan dan penyelenggaraan bagi lapan empangan tersebut dianggarkan sebanyak RM135 820 dan pemilik empangan perlu menyediakan peruntukan khas bagi tujuan tersebut.
Sebagai langkah interim, sekiranya terdapat keperluan mendesak, kerajaan Persekutuan bersedia untuk mempertimbangkan sokongan kewangan kepada pemilik empangan yang tidak mempunyai sumber kewangan.
Lapan empangan tersebut ialah Empangan Muda dan Ahning di Kedah, Empangan Jor dan Mahang di Perak, Empangan Sultan Abu Bakar di Pahang, Empangan Babagon di Sabah, Empangan Bakun di Sarawak dan Empangan Kenyir di Terengganu.
Menurut kenyataan itu juga, hasil pemeriksaan oleh pasukan “Flying Squad” menemukan pembentukan enapan yang tinggi di kolam takungan, kerosakan peralatan instrumentasi dan kawalan air, tirisan, kerosakan integriti struktur konkrit, hakisan tanah dan kesan runtuhan.
NRECC memberikan perhatian yang serius akan risiko kegagalan struktur empangan seperti yang terjadi di Libya baru-baru ini dan memaklumkan bahawa Empangan Chereh di Pahang dan Empangan Kenyir di Terengganu turut mengalami kerosakan yang teruk dan perlu dipulihkan dengan segera.
Pemeriksaan empangan oleh pasukan “Flying Squad” menggunakan garis panduan pemeriksaan keselamatan empangan yang dibangunkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), iaitu Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Empangan di Malaysia (MyDAMS).
Selain itu, NRECC turut bercadang untuk meneruskan fungsi pasukan “Flying Squad” bagi membuat pemeriksaan terhadap empangan lain, terutamanya empangan yang berusia lebih daripada 50 tahun.
Struktur dan tanggungjawab pasukan “Flying Squad” juga akan diperkukuh kepada struktur tetap yang dikenali sebagai Pusat Teknikal Empangan.
Pasukan “Flying Squad” merupakan struktur ad hoc yang diselaraskan oleh Bahagian Bekalan Air, NRECC dengan keahlian terdiri daripada pakar pelbagai jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya, JPS, Tenaga Nasional Berhad, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains serta pihak swasta.