Diterbitkan pada 30 September 2023, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu bertujuan meraikan kepelbagaian dan keperluan negeri dengan memberikan peluang kepada penggerak dan pengamal sains, teknologi dan inovasi (STI) tempatan mengetengahkan teknologi dan inovasi masing-masing kepada masyarakat, khususnya golongan muda di Terengganu.

Karnival anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu itu telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Yang Berhormat Ahmad Shah Muhamed yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Yang Amat Berhormat, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030, pelaksanaan karnival MSN adalah antara inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menggerakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembudayaan dan aktiviti kesedaran STI secara besar-besaran,” kata Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Puan Ruziah Shafei dalam satu kenyataan.

Karnival yang telah berjaya menarik lebih daripada 5000 penyertaan awal dan dijangkakan lebih penyertaan daripada komuniti setempat yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi serta orang awam itu menawarkan pelbagai pengisian interaktif seperti pameran berteraskan STI di reruai pameran, demonstrasi sains dan bual bicara yang berteraskan STI serta mengikut kesesuaian masyarakat setempat.

Sepanjang karnival MSN 2023 yang berlangsung mulai hari ini hingga 2 Oktober 2023, pelbagai aktiviti menarik berteraskan STI disediakan yang memberikan manfaat kepada pengunjung, misalnya tayangan mini planetarium, pencerapan solar, pertunjukan sains interaktif, planet realiti maya dan bicara saku (pocket talk) STI.

Sementara itu, program seperti webinar, forum, kuiz dan cabaran penerokaan berdasarkan bidang fokus yang telah ditetapkan turut dilaksanakan secara dalam talian bagi memastikan capaian karnival MSN yang lebih luas kepada kumpulan sasar di seluruh negara.

Karnival MSN secara dalam talian itu dilaksanakan melalui kerjasama dengan jabatan serta agensi di bawah MOSTI, institusi pengajian tinggi, badan swasta dan persatuan serta rakan strategik yang berkaitan.

Orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai MSN boleh melayari laman sesawang rasmi MSN.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi