Diterbitkan pada 28 September 2023, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Berdasarkan laporan Indeks Inovasi Global (GII) Tahun 2023 yang dikeluarkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO) di Geneva, Switzerland, Malaysia kekal menduduki kedudukan ke-36 daripada 132 buah negara dengan peningkatan skor keseluruhan kepada 40.9 berbanding dengan skor 38.7 pada tahun lalu.

Dengan adanya dorongan dan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Inter-Agensi Pemantauan Daya Saing GII di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui pendekatan keseluruhan kerajaan yang melibatkan semua kementerian dan agensi kerajaan telah berjaya meningkatkan prestasi Malaysia dalam GII.

Prestasi Malaysia dalam GII memberikan tumpuan kepada faktor penting yang mendorong dan menyokong proses inovasi, termasuklah penyelidikan dan pembangunan, keusahawanan, infrastruktur teknologi dan pelbagai bidang tumpuan yang memerlukan intervensi sekali gus memberikan gambaran menyeluruh tentang keupayaan inovasi di negara ini.

Sejajar dengan sasaran yang telah ditetapkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 bagi memastikan Malaysia berjaya memasuki 30 negara teratas dalam GII menjelang tahun 2025, MOSTI akan melaksanakan beberapa inisiatif seperti membantu mendaftarkan harta intelek bagi mana-mana inovasi yang berpotensi untuk dikomersialkan termasuklah yang dihasilkan oleh pelajar sekolah dan menggubal Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara bagi menangani isu kesihatan manusia dan hubung kait dengan alam semula jadi, biodiversiti dan perubahan iklim.

Selain itu, MOSTI juga menyediakan maklumat pasaran ekosistem startup tempatan untuk membantu Bursa Malaysia mengenal pasti startup yang berpotensi untuk disenaraikan dalam Bursa Malaysia serta mengusulkan cadangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Bakat Sains, Teknologi dan Inovasi yang turut dianggotai oleh wakil industri untuk menyokong inisiatif negara dalam pembangunan bakat sains, teknologi dan inovasi.

Sementara itu, Malaysia menduduki tangga kedua negara paling berinovatif selepas China berdasarkan laporan GII 2023, manakala peringkat ASEAN pula, Malaysia kekal berada di tempat kedua selepas Singapura.

Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan pertama bagi dua subindikator, iaitu high-tech exports dan creative goods exports serta melonjak ke kedudukan pertama bagi subindikator graduates in science and engineering.

Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan itu adalah selaras dengan iltizam Kerangka Dasar Malaysia MADANI untuk memastikan negara ini sebagai sebuah negara pengeluar teknologi dan berdaya cipta menjelang tahun 2030.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi