Diterbitkan pada 21 September 2023, 17:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Samarahan – Pelaksanaan karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 Peringkat Negeri Sarawak dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Sarawak adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030 sebagai satu inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam usaha menggerakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembudayaan dan aktiviti kesedaran tentang sains, teknologi dan inovasi (STI) secara besar-besaran.

Program yang telah berjaya menarik minat lebih daripada 5000 orang pelajar, mahasiswa, ibu bapa dan masyarakat setempat itu merupakan anjuran MOSTI dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Menerusi karnival MSN yang dianjurkan di setiap negeri itu, penggerak dan pengamal STI tempatan diberikan peluang untuk mengetengahkan teknologi dan inovasi mereka yang tersendiri kepada umum, khususnya kepada anak-anak di negeri ini,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Chang Lih Kang ketika merasmikan karnival MSN 2023 di UNIMAS, hari ini.

Sepanjang karnival MSN tersebut berlangsung, masyarakat setempat ditawarkan dengan pelbagai pengisian interaktif seperti pameran berteraskan STI di reruai pameran, demonstrasi sains, mini planetarium, pencerapan solar, pertunjukan sains interaktif, planet realiti maya dan bual bicara yang berkonsepkan STI.

“Bagi mewujudkan pembudayaan STI secara bersepadu dan seterusnya menggerakkan aktiviti kesedaran dan pembudayan STI, anak-anak di Sarawak khususnya dapat memanfaatkan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan,” kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, YB Datuk Roland Sagah Wee Inn ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Pada masa yang sama, pertandingan Malaysia Techlympics turut dianjurkan dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pertandingan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna serta berimpak tinggi.

Sebanyak 500 orang peserta telah berkumpul bersama-sama dan bersaing dalam pertandingan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Sarawak tersebut bagi melayakkan diri ke Peringkat Akhir Kebangsaan yang akan diadakan pada November 2023 di Putrajaya.

Enam tema yang menjadi tonggak utama bagi pertandingan Malaysia Techlympics pada tahun ini termasuklah Teknologi Sohor, Inovasi Kreatif untuk Kesejahteraan Rakyat, Sains dan Inovasi, Aeroangkasa, Kecerdasan Buatan dan Sains Data serta Keterangkuman Malaysia MADANI.

Hingga hari ini, Malaysia Techlympics telah berjaya meraih sebanyak 1.7 juta penyertaan daripada seluruh negara dengan pelbagai pertandingan yang berteraskan teknologi seperti kecerdasan buatan, Internet benda, dron, pengekodan dan robotik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi