Diterbitkan pada 16 September 2023, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Keningau – Program Kimia ke Desa yang dianjurkan oleh Jabatan Kimia Malaysia (KIMIA Malaysia) melalui Jabatan Kimia Malaysia Negeri Sabah (KIMIA Sabah) di Kampung Mansiat, Sook, Keningau hari ini bermatlamat untuk membudayakan sains kepada masyarakat desa.

Program tersebut ialah satu daripada inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk meneruskan agenda merakyatkan sains, teknologi dan inovasi (STI) sekali gus memperkenalkan peranan dan fungsi KIMIA Malaysia kepada masyarakat tempatan.

“Program ini unik kerana membawa STI terus kepada masyarakat desa bagi memupuk minat mereka terhadap STI dan menukar pandangan orang ramai bahawa sains itu mudah, menarik dan sebahagian daripada kehidupan,” kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Datuk Arthur Joseph Kurup ketika merasmikan program berkenaan.

Tambah beliau, banyak aktiviti telah dirangka seperti pameran interaktif, kuiz sains, ceramah santai berkaitan dengan sains kimia dan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh KIMIA Sabah kepada komuniti kampung bagi memupuk minat masyarakat kampung terhadap STI.

Dengan adanya aktiviti seumpama ini diharapkan dapat memberikan kesedaran dan minat kepada murid dan pelajar sekolah di Kampung Mansiat terhadap pendidikan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) sekali gus menjadikan STEM sebagai satu daripada bidang keutamaan dan kerjaya pada masa hadapan.

Selain itu, beberapa aktiviti kemasyarakatan juga telah dirangka, misalnya aktiviti gotong-royong dan sukan rakyat bagi menjalinkan hubungan silaturahim antara KIMIA Sabah dengan masyarakat di kampung berkenaan dan kampung di sekitarnya.

Menerusi program ini juga, tawaran perkhidmatan analisis kualiti air secara sekali beri untuk projek agromakanan, iaitu projek tanaman hidroponik sayur daun, kolam ikan di Kampung Sinaron, Sook dan analisis kualiti air bagi sumber air gravity-feed system (GFS) penduduk Kampung Mansiat juga dicadangkan oleh KIMIA Sabah.

Pada masa yang sama, sambutan Hari Malaysia turut diadakan bagi menghayati dan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat serta menghargai jasa pemimpin terdahulu dan memupuk nilai bersatu padu, bekerjasama dan toleransi antara masyarakat kampung khasnya dan negara amnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi