Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini, Pahang dikekalkan setelah mendapat persetujuan dalam Mesyuarat International Coordinating Council of the 35th Session of the International Coordinating Council of Man and the Biosphere Programme (ICC MAB35) pada 13 Jun 2023 lalu di Paris berikutan menepati kriteria Statutory Framework of the World Network of Biosphere Reserves (WNBR).
Susulan itu, kejayaan tersebut telah diraikan oleh Kerajaan Negeri Pahang di Hotel Swiss-Belhotel, Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang bersekali dengan Majlis Perasmian Penutupan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Ulu Cheka yang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, hari ini.
“Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri Pahang dan diharapkan pelbagai usaha bagi menambah baik dan mengukuhkan pengurusan Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini ini dapat terus dipergiatkan,” kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, tapak rizab biosfera ialah satu daripada program di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi memperkukuh hubungan dan pertalian antara manusia dengan alam sekitar.
Tambah beliau, pengekalan status Tapak Rizab Biosfera Tasik Chini adalah sangat signifikan kepada negara kerana memanifestasikan usaha kolektif kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta pelbagai pemegang taruh termasuklah penyelidik dan masyarakat setempat.
Tasik Chini merupakan tapak rizab biosfera pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan pada tahun 2009.
Selain Tasik Chini, tapak rizab biosfera lain yang terdapat di Malaysia ialah Banjaran Crocker, Sabah dan Bukit Bendera, Pulau Pinang yang masing-masing mendapat pengiktirafan pada tahun 2014 dan tahun 2021.
Selepas 10 tahun pengiktirafan, setiap tapak rizab biosfera perlu mengemukakan laporan semakan berkala untuk penilaian semula oleh Sekretariat UNESCO.
Dalam hal ini, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk memulihara tapak rizab biosfera yang sedia ada dan mencalonkan kawasan yang berpotensi sebagai tapak rizab biosfera yang baharu pada masa hadapan.