Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah melancarkan kempen “Jom Beli Produk Hijau” bermula pada bulan ini hingga Disember 2023 untuk memberikan kesedaran dan menggalakkan pembelian produk hijau kepada masyarakat.
NRECC dalam satu kenyataan menyatakan bahawa kempen tersebut merupakan anjuran Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) bersama-sama e-pasaran terkemuka, Shopee Malaysia.
Kerjasama dengan Shopee Malaysia ini adalah untuk menjangkau khalayak yang lebih luas bagi berkongsikan matlamat inisiatif ini dan seterusnya mampu membina dan menyerlahkan kepentingan penggunaan serta pengeluaran produk hijau.
Menurut NRECC, kempen tersebut akan menampilkan produk hijau yang diperakui di bawah skim pengiktirafan tanda MyHIJAU dan label hijau lain yang disahkan dalam pelbagai barangan isi rumah seperti cat, produk pembungkusan, peralatan dapur dan kertas.
Kerajaan juga menyasarkan sebanyak 50 000 produk dan perkhidmatan hijau berada dalam pasaran menjelang tahun 2030 di bawah skim pengiktirafan MyHIJAU Mark yang dipacu oleh MGTC sejak tahun 2012.
Kempen tersebut turut menawarkan baucar bernilai RM5 untuk setiap pembelian berjumlah RM20 dan ke atas, manakala baucar bernilai RM20 untuk setiap pembelian berjumlah RM50 bagi semua barangan hijau yang terpilih.
Seiring dengan aspirasi teras Malaysia MADANI, NRECC menggesa orang ramai agar menyertai kempen berkenaan bagi membina anjakan transformatif terhadap tingkah laku pengguna dan mengemudi masyarakat ke arah masa hadapan yang lebih mampan melalui pembelian produk hijau dari semasa ke semasa.