Diterbitkan pada 3 September 2023, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Rembau – Selaras dengan agenda untuk merakyatkan sukan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) menawarkan program rintis berbentuk perkhemahan keluarga yang akan dilaksanakan di Kem Wawasan Negara Ulu Sepri, Negeri Sembilan pada setiap hari Sabtu dan Ahad serta penyertaan adalah percuma bagi bulan pertama bermula 1 hingga 30 September 2023.

Walau bagaimanapun, bayaran yang minimum atau pada kadar mampu bayar akan dikenakan pada masa akan datang sebagai satu daripada inisiatif Rahmah KBS dalam perihal belia dan sukan.

“Tujuan pelaksanaan program terbuka bagi warganegara yang berminat dengan aktiviti perkhemahan tersebut adalah untuk merakyatkan kemudahan KBS dan memberikan manfaat kepada orang ramai untuk beriadah, meningkatkan hubungan dan rasa tanggungjawab kekeluargaan dalam kalangan rakyat Malaysia, memupuk amalan nilai murni dan integriti keluarga demi keharmonian hidup dan memastikan keseimbangan dalam kerjaya dan kehidupan,” kata Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Puan Yeoh Tseow Suan dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, program tersebut yang merupakan inisiatif Rakan Muda menjadi satu daripada platform pengisian masa berkualiti dan penyatuan perpaduan dalam kalangan belia sekali gus memberikan pendedahan dan penerokaan terhadap kepentingan penjagaan kelestarian alam serta iklim bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Tambah beliau, aspek keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) rekreasi turut dititikberatkan dengan kerjasama dan kolaborasi strategik daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta Pejabat Kesihatan Negeri.

Ujar beliau lagi, peserta perkhemahan dikehendaki akur dan patuh terhadap peraturan yang telah ditetapkan seperti mematuhi larangan merokok dan menghisap vap dalam kawasan kem, menjaga kebersihan kawasan perkhemahan dan bebas daripada pengaruh alkohol, penyalahgunaan dadah dan tidak melakukan perkara yang terlarang.

Selain Kem Wawasan Negara Ulu Sepri, Negeri Sembilan, program berkenaan akan diadakan di enam buah Kem Wawasan Negara lain, iaitu Kem Wawasan Langkawi; Kem Wawasan Balik Pulau, Pulau Pinang; Kem Wawasan Ulu Kenas, Perak; Kem Wawasan Maran, Pahang; Kem Wawasan Kundasang, Sabah dan Kem Wawasan Besut, Terengganu.

Sebarang pertanyaan berkenaan dengan program perkhemahan keluarga tersebut boleh menghubungi urus setia menerusi aplikasi WhatsApp di talian 012-2724630/012-3846818 atau melayari laman sesawang i-LEAD.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi