Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meminta pihak pengilang padi dan pemborong beras untuk meningkatkan 20 peratus bekalan beras putih tempatan (BPT) melalui Program Khas Beras Putih Tempatan ke dalam pasaran.
Langkah intervensi yang dilaksanakan tersebut bertujuan memastikan bekalan pasaran BPT kembali pulih dalam waktu terdekat dengan pertambahan pengeluaran BPT dalam pasaran.
Berdasarkan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh KPKM, setakat ini harga BPT masih kekal pada harga kawalan, iaitu RM2.60 per kilogram sejak tahun 2008 dan merupakan harga terendah di rantau ini.
Menerusi sesi libat urus bersama-sama pihak industri pengilang padi dan pemborong beras zon utara pada 27 Ogos 2023 lalu di Alor Setar, Kedah, pihak pengilang padi telah bersetuju untuk memberikan tambahan 20 peratus kuota padi mereka kepada kerajaan melalui Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), manakala pihak BERNAS pula akan memberikan kuota tambahan tersebut kepada pemborong bumiputera bagi menambah bekalan BPT negara melalui Program Khas BPT.
Selain itu, Sesi Dialog Belanjawan 2024 KPKM bersama-sama pemain industri dan pihak berkepentingan di bawah subsektor padi yang akan diadakan di MAEPS, Serdang, Selangor pada 7 September 2023 bertujuan mendapatkan input dan pandangan daripada pemain industri bagi meningkatkan pengeluaran BPT.
Operasi Jamin (OP JAMIN) yang dilaksanakan sejak 1 Julai 2023 masih diteruskan sebagai langkah pemantauan yang dijalankan di seluruh negara dalam meningkatkan penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan pemantauan antara agensi melalui kolaborasi bersepadu antara Kawalselia Padi dan Beras (KPB), KPKM dan Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Bermula 16 Ogos 2023 lalu, KPKM telah melancarkan Operasi Beras Putih (OP BPT) bagi menumpukan pemeriksaan dan penguatkuasaan peringkat pengilang padi dan pemborong beras di seluruh negara yang membolehkan KPKM melalui kuasa Ketua Pengarah KPB membatalkan atau menggantung setiap lesen yang telah dikeluarkan jika didapati terdapat pihak yang gagal mematuhi perundangan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].
Sebarang maklumat atau aduan berhubung dengan isu berbangkit mengenai kekurangan bekalan BPT dalam pasaran boleh dikemukakan secara rasmi berserta butiran dan maklumat yang lengkap melalui Portal Aduan KPB, menerusi e-mel [email protected] atau menghubungi Ibu Pejabat KPB Putrajaya di talian 03-88701751/03-88701748/03-88701183.