Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Islam and Biomedicine di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC–IIUM), hari ini.
Buku yang diterbitkan oleh Springer itu telah disunting oleh Felow Oxford Centre of Islamic Studies merangkap pensyarah di Fakulti Teologi, Universiti Oxford, YBhg. Dato’ Dr. Afifi al-Akiti serta pakar perubatan dari Universiti Chicago, YBrs. Dr. AI Padela.
“Secara umumnya, buku ini bukan sahaja boleh dijadikan sebagai model pertemuan antara sains dengan etika, malah mampu merumuskan bagaimana Islam dan perubatan boleh memberikan pencerahan serta saling melengkapi antara satu dengan yang lain,” titah baginda ketika berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Islam and Biomedicine itu.
Majlis pelancaran buku tersebut merupakan sebahagian daripada acara sehari Simposium Antarabangsa tentang Islam dan Bioperubatan yang diadakan di ISTAC dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kuala Lumpur, Kolej Perubatan Diraja Perak dan Pandemic Sciences Institute, Universiti Oxford.
Buku yang mengandungi 13 buah esei itu ditulis oleh ahli teologi (ulama), para pengamal perubatan dan sejarawan dalam pelbagai disiplin ilmu termasuklah sains, perubatan, teologi dan falsafah.
Dalam situasi dunia yang sedang mengalami ledakan teknologi yang semakin pesat, timbul perbezaan pendapat dalam disiplin ilmu sains dan agama yang mengekang kesepakatan serta persetujuan.
Oleh hal yang demikian, buku tersebut dihasilkan untuk menjambatani persimpangan yang wujud antara tradisi Islam dengan bioperubatan serta menawarkan sumber penyelidikan yang lebih mendalam pada masa akan datang.
Penghasilan buku berkenaan disokong oleh Templeton Religion Trust yang ditubuhkan oleh Sir John Templeton pada tahun 1984 dan menerima pelbagai ulasan yang memberangsangkan daripada jurnal Al-Shajarah.
Buku ini ialah permulaan untuk mewujudkan kajian yang menarik pada masa hadapan dan menyumbang kepada perbincangan yang bernilai serta meluas antara Islam dengan sains.
Pada masa yang sama, penghasilan buku yang mengumpulkan idea daripada para ulama, pengamal perubatan dan sejarawan itu dapat menarik perhatian yang berterusan pada ruang intelektual antara Islam dengan bioperubatan.
Turut hadir dalam majlis pelancaran buku berkenaan ialah penyelidik di Pandemic Sciences Institute, Universiti Oxford, Profesor Tess Lambe, OBE merangkap penyelidik utama yang bertanggungjawab mengawasi program vaksin Oxford-AstraZeneca serta memainkan peranan penting dalam usaha menangani COVID-19.
Kredit Foto: UniKL RCMP