Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGeorge Town – Penganjuran program Fit Malaysia Tahun 2023 bermula di Pulau Pinang dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Tuan Adam Adli Abd Halim di Padang Kota Lama, George Town, hari ini.
Seiring dengan kerangka Malaysia MADANI, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan program berkenaan bagi membudaya serta merakyatkan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup aktif dan cergas.
Selain itu, program yang bertemakan “Lets’s Get Fit” itu juga bermatlamat memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional menerusi penganjuran dan penyertaan dalam acara sukan.
Program tersebut berkonsepkan karnival kecergasan dengan pengisian aktiviti seperti pacu ria (fun ride) 10 kilometer dan 30 kilometer, larian ria (fun run) lima kilometer dan 10 kilometer, fun walk tiga kilometer, senamrobik, lompat tali, pameran kecergasan dan kesihatan.
Program Fit Malaysia berkenaan akan menjelajah ke seluruh negara dan acara kemuncaknya akan diadakan pada 14 Oktober 2023 bersempena dengan sambutan Hari Sukan Negara di Putrajaya.
Turut hadir dalam program itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Ahmad Rizal Mohd Hanapiah, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Ir. Rajendran P. Anthony, Ketua Pengarah JBSN, Tuan Mohd Azhari Mohammad dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Encik Mohd Mozakir Buyong Mokhtar.
Sebarang pertanyaan mengenai penganjuran program Fit Malaysia boleh menghubungi Sekretariat Fit Malaysia di talian 03-88713159 atau e-mel [email protected].