Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia diiktiraf sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini yang mengambil kira prestasi sistem dan kesediaan negara untuk beralih kepada sumber tenaga yang lebih mesra alam.
Pencapaian tersebut menunjukkan Malaysia berada pada landasan yang tepat bagi pengurusan peralihan tenaga yang pantas, selamat dan berpatutan.
“Malaysia memiliki banyak kelebihan seperti lokasi yang strategik, sumber tenaga boleh baharu (TBB) yang pelbagai dan tahap kemahiran yang tinggi untuk menjadi peneraju serantau dalam bidang peralihan tenaga,” kata Menteri Ekonomi, Yang Berhormat Tuan Mohd Rafizi Ramli dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, Malaysia dijangkakan mampu meraih peluang untuk menarik pelaburan global dalam sektor teknologi bersih yang telah mencecah RM5 trilion pada tahun 2022 dan nilai itu dijangkakan terus meningkat pada tahun yang akan datang.
Sementara itu, beliau juga memaklumkan bahawa Kementerian Ekonomi akan meluncurkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa 1 pada 27 Julai 2023 semasa program Invest Malaysia KL 2023 Special Series anjuran Bursa Malaysia dengan kerjasama CLSA dan Maybank di Kuala Lumpur yang menjadi titik permulaan dalam usaha mengarusperdanakan peralihan tenaga naratif pembangunan negara.
NETR akan mengumumkan pelaksanaan 10 projek rintis perdana yang dijangkakan menjana pelaburan berjumlah RM25 bilion, pewujudan sebanyak 23 000 peluang pekerjaan yang berkualiti tinggi serta pengurangan pelepasan karbon dioksida setara yang melebihi 10 000 gigagram setahun secara kumulatif.
Menurut beliau lagi, NETR ialah tindakan tuntas susulan pembaharuan dasar semasa berkaitan dengan TBB oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), khususnya peningkatan sasaran baharu kapasiti terpasang TBB daripada 40 peratus pada tahun 2035 kepada 70 peratus menjelang tahun 2050.
Jelasnya, sasaran yang lebih tinggi dijangkakan dapat mewujudkan peluang ekonomi baharu selain menarik syarikat multinasional, terutamanya RE100 untuk beroperasi di Malaysia.
Kementerian Ekonomi berharap NETR ini dapat memandu agenda strategik untuk mencipta peluang pekerjaan baharu bergaji tinggi, merancakkan penyertaan pelaburan di dalam negara dan di luar negara, menjamin kelangsungan bekalan tenaga negara dan menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam industri tenaga bersih untuk jangka masa panjang.