Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Sebanyak 192 orang graduan telah berjaya mendapat penempatan kerja di 25 buah syarikat bioteknologi dan berasaskan bio melalui program Kerjaya dan Keusahawanan Bioagrotek dan Biofarmaseutikal 2.0 (BeST 2.0) dari tahun 2021 hingga 1 Mei 2023 di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).
Program BeST 2.0 tersebut diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi di bawah RMKe-12 dan disokong oleh MOSTI, yakni susulan daripada program BeST 1.0 yang telah dilancarkan pada tahun 2007 bagi memastikan kesinambungan dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.
Program yang berprinsipkan “place-train-hire” itu dilaksanakan oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) melalui bahagian BioAcademy bagi menempatkan, melatih dan menerima graduan sebagai pekerja berpengetahuan dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio.
“Program BeST 2.0 menyasarkan penempatan kerja berpengetahuan dan pendapatan tinggi sebanyak 600 orang graduan dalam sektor bioteknologi sepanjang program RMKe-12 dan kejayaan program tersebut dalam mencapai sasaran ialah satu langkah positif ke arah menangani cabaran jurang perbezaan antara kemahiran graduan tempatan dengan kemahiran tenaga kerja yang sering dihadapi dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, program yang dianjurkan di bawah BioAcademy termasuklah BeST 2.0 itu dapat menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan, pengurangan pengangguran, penerapan teknologi moden dan pertumbuhan ekonomi yang rancak di Malaysia, di samping melahirkan lebih banyak pekerja berpengetahuan dan usahawan bio yang kompetitif serta bersedia menceburi pasaran global.
Selaras dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang disasarkan untuk membangunkan tenaga kerja dan bakat yang cekap untuk industri bioteknologi di Malaysia, program tersebut dapat membentuk tenaga kerja yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan dan kekosongan dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Encik Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak menyatakan bahawa kerjasama padu yang dijalinkan dengan 25 buah syarikat bioteknologi dan berasaskan bio ialah kunci utama bagi kejayaan program BeST 2.0.
Menurut beliau, pengambilan pertama program BeST 2.0, iaitu pada tahun 2021, syarikat hos ini telah menyerap sebanyak 59 orang daripada 63 orang (93 peratus) peserta program BeST 2.0 untuk menjadi pekerja tetap.
Faktor sokongan hebat yang diberikan oleh para pemain industri termasuklah syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator telah memudahkan Bioeconomy Corporation untuk memadankan graduan bioteknologi dan berasaskan bio dengan kemahiran dan kelayakan akademik yang diperlukan oleh pelbagai syarikat dalam industri ini.
Selaras dengan program Penggunaan Barangan dan Perkhidmatan Hasil Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Tempatan, kami ingin memperluas kerjasama dan pelaksanaan program di bawah BioAcademy untuk melatih dan melahirkan lebih banyak biousahawan muda dalam mengkomersialkan hasil R&D Malaysia dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio ke pasaran tempatan dan di luar negara dengan menciptakan lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri berasaskan teknologi.
Dalam program BeST 2.0, siswazah dan graduan tempatan dan luar negara ditempatkan sebagai perantis di syarikat hos dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio termasuklah biopertanian dan biofarmaseutikal bagi menjalani latihan insaniah, teknikal serta latihan kerja selama enam bulan sebelum ditawarkan pekerjaan tetap di syarikat penempatan atau di syarikat lain.
Bagi pengambilan kedua program BeST 2.0 sejak Mac 2023, sebanyak 44 orang graduan sedang menjalani penempatan kerja di syarikat hos masing-masing hingga September 2023, manakala sebanyak 45 orang graduan dalam pengambilan ketiga sejak Julai 2023 kini menjalani latihan insaniah dan teknikal di Rekascape, Cyberjaya selama sebulan sebelum ditempatkan di syarikat hos.
Seterusnya, sebanyak 40 orang graduan untuk pengambilan keempat telah dimuktamadkan dan mereka akan mula menjalankan latihan dan penempatan kerja program BeST 2.0 pada Ogos 2023.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan program BeST 2.0, boleh layari laman sesawang Bioeconomy Corporation.