Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Berikutan nilai yang mampu dijana dalam pasaran adalah tinggi, teknologi penderia menjadi satu daripada aspek yang diberikan tumpuan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Dalam Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (10-10 MySTIE), teknologi penderia adalah antara 10 pemacu sains dan teknologi yang dikenal pasti memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor seperti tenaga, penjagaan kesihatan, pembuatan, pembangunan bandar pintar, pengangkutan, air dan makanan, perkhidmatan kewangan dan perniagaan serta pertanian dan alam sekitar.
“Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Research and Markets pada tahun 2022, pasaran penderia pintar di seluruh dunia dijangkakan berkembang daripada RM728 bilion pada tahun 2021 kepada RM1.16 trilion menjelang tahun 2026 dan peningkatan permintaan teknologi ini mendorong kepada kemunculan teknologi baharu yang lain seperti nanoteknologi,” kata Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, teknologi penderia juga telah dinyatakan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 sebagai alat pemboleh daya untuk pertanian persis (precision farming) dan pertanian pintar.
Antara contoh pengaplikasian teknologi tersebut termasuklah pemantauan keadaan persekitaran yang disepadukan dengan Internet benda (IoT) dan sistem tanpa wayar.
Sementara itu, menerusi inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) di bawah Pelan Penjanaan Semula Ekonomi Negara (Generator), penggunaan teknologi penderia telah dikenal pasti untuk mempercepat peluang pertumbuhan ekonomi melalui teknologi pengganggu (disruptive technologies) seperti kecerdasan buatan, robotik dan dron.
Selain itu, teknologi penderia juga berkait rapat dengan pelaksanaan beberapa pelan hala tuju teknologi oleh MOSTI seperti Pelan Hala Tuju Elektrik dan Elektronik Nasional 2021-2030, Pelan Hala Tuju Robotik Nasional 2021-2030 dan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Nasional 2021-2025.
Pada masa yang sama, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim turut berkesempatan menyaksikan memorandum perjanjian antara Persatuan Pembangunan Teknologi Sensor Malaysia (SENSOR Malaysia) dengan Biogenes Technologies Sdn. Bhd. (Biogenes) yang menyediakan dana berjumlah RM50 000 setahun untuk tempoh tiga tahun kepada SENSOR Malaysia bagi melaksanakan beberapa program termasuklah penyelidikan, latihan dan menghadiri persidangan berkaitan dengan teknologi penderia.
Forum Teknologi Sensor Kebangsaan 2023 yang dianjurkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) dan SENSOR Malaysia itu membabitkan akademia daripada institusi pengajian tinggi dan pakar industri bagi berkongsikan pengetahuan dan meningkatkan pemahaman berkenaan dengan ekosistem dan penggunaan teknologi penderia di dalam negara.