Diterbitkan pada 6 Julai 2023, 18:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sambutan Minggu Sihat HePiLI (Program Promosi Kesihatan di Institusi Pendidikan) 2023 Peringkat Kebangsaan telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa secara maya, hari ini.

HePiLI merupakan suatu program berstruktur dan berterusan melibatkan kanak-kanak hingga remaja yang memfokuskan peningkatan literasi kesihatan dan perubahan tingkah laku ke arah pencegahan faktor risiko penyakit tidak berjangkit.

Pelaksanaan HePiLI menekankan perubahan tingkah laku kesihatan kepada kumpulan sasar melalui beberapa skop kesihatan seperti kebersihan diri yang bertujuan menjadikan murid sekolah dan pelajar sebagai agen perubahan tingkah laku kesihatan kepada rakan sebaya mereka di prasekolah, tabika hinggalah institusi pengajian tinggi.

Antara program yang dilaksanakan dalam HePiLI termasuklah Tunas Doktor Muda prasekolah dan tabika, Doktor Muda di sekolah rendah dan di sekolah menengah, IMFree yang khusus dalam pencegahan merokok dalam kalangan murid sekolah rendah, Ekspresi Anak Remaja Lestari (PEARL) di sekolah menengah dan Siswa Sihat (PROSIS) di institusi pengajian tinggi.

Usaha yang dilaksanakan itu adalah rentetan daripada hasil dapatan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang melaporkan prevelan remaja yang tidak aktif secara fizikal telah meningkat daripada 50.1 peratus (NHMS 2017) kepada 66.7 peratus (NHMS 2022) dalam kalangan remaja berumur antara 13 tahun hingga 17 tahun selain prevelan obesiti yang juga meningkat daripada 13.3 peratus (NHMS 2017) kepada 14.3 peratus (NHMS 2022).

Sementara itu, kajian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada tahun 2021 mendapati bahawa seorang daripada tujuh orang kanak-kanak dan remaja yang berumur antara 10 tahun hingga 19 tahun mengalami gangguan mental, yakni menyumbang sebanyak 13 peratus daripada beban penyakit global dalam kumpulan umur ini.

Data ini menyebabkan program berstruktur seperti HePiLI diperlukan bagi meningkatkan kualiti hidup generasi muda selain mencegah penyakit tidak berjangkit.

Sambutan Minggu Sihat HePiLI yang bertemakan “Kami Nak Hidup Sihat” merupakan acara tahunan yang dilaksanakan pada 1 Julai hingga 7 Julai yang melibatkan penyertaan daripada seluruh negara, misalnya Himpunan Maya HePiLI- Kami Nak Hidup Sihat yang menjadi acara kemuncak bagi sambutan pada tahun ini.

Semasa himpunan maya tersebut berlangsung, Kementerian Peneraju Kesihatan yang terdiri daripada Menteri Kesihatan, Menteri Pendidikan, Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Komunikasi dan Digital telah menzahirkan komitmen yang tinggi dan kesepaduan menerusi “Voice of Ministers”.

Pada masa yang sama, himpunan berkenaan telah berjaya tersenarai dalam The Malaysia Book of Records melalui X-Break Mega bersama-sama warga institusi pendidikan terbesar secara maya sebagai satu daripada aktiviti yang memupuk kesedaran hidup aktif dalam kalangan kumpulan sasar.

Dengan adanya sambutan seumpama ini, momentum pelaksanaan program promosi kesihatan di semua institusi pendidikan diharapkan dapat dikekalkan dan seterusnya mengukuhkan pembudayaan hidup sihat kepada semua kumpulan sasar, terutamanya murid sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi.

Program HePiLI turut dijayakan bersama-sama rakan strategik, iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Perpaduan dan Kementerian Pengajian Tinggi di samping agensi Iain seperti UNICEF Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Agensi Antidadah Kebangsaan, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi