Diterbitkan pada 6 Julai 2023, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Puncak Alam – Makmal Insektorium, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam telah menerima kunjungan daripada Australian National University (ANU) bersempena dengan program Malaysia Summer Camp 2023: Understanding Health Hazards anjuran UiTM bersama-sama Malaysia Association of Environmental Health (MAEH), Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Lawatan yang diwakili oleh dua pensyarah dan 23 pelajar ini adalah untuk mempelajari teknik penternakan lalat tentera hitam dan pengkomposan sisa organik dalam konteks kelestarian alam sekitar.

Ketua Pusat Pengajian Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM, Dr. Siti Rohana Mohd Yatim mengalu-alukan kehadiran pihak ANU dan menjelaskan bahawa UiTM telah menjalankan penyelidikan dalam bidang penternakan dan pengkomposan menggunakan lalat tentera hitam ini sejak tahun 2020.

Kami amat berharap dapat berkongsikan pengetahuan dan pengalaman berharga ini dengan ANU.

Sementara itu, Pensyarah Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran ANU, Dr. Andrew Mathieson menyambut baik pengalaman yang diperoleh para pelajarnya.

Lawatan ini memberikan mereka wawasan yang unik dan peluang untuk memahami potensi penting lalat tentera hitam dalam pengurusan sisa organik di samping memberikan peluang kepada pelajar ANU untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman pelajar UiTM dalam bidang yang sama.

Beliau juga mengharapkan lawatan ini akan mendorong kerjasama dan pertukaran ilmu antara UiTM dengan ANU untuk memajukan bidang penternakan lalat tentera hitam dan pengkomposan sisa organik.

Pelajar ANU berkesempatan menyentuh larva lalat tentera hitam di Makmal Insektorium, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM, Kampus Puncak Alam.

 

Para pelajar ANU berpeluang memberikan larva hidup kepada ikan.

Dalam lawatan ini, pelawat daripada ANU didedahkan tentang kitaran hidup lalat tentera hitam, keperluan nutrien dan habitat yang sesuai untuk penternakan lalat ini, teknik penternakan yang efisien serta alat yang digunakan untuk mengawal persekitaran dalaman bagi memastikan keberkesanan penghasilan kompos.

Selain itu, pelajar ANU juga diajar tentang teknik pemisahan larva lalat tentera hitam daripada kompos yang matang selain diberikan peluang untuk melihat proses pemisahan larva dan peranannya dalam pengkomposan sisa organik.

Lalat tentera hitam (Hermetia illucens) telah mendapat perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai satu daripada kaedah alternatif dalam pengurusan sisa organik.

Lalat ini berperanan sebagai pengurai utama dalam memecahkan sisa organik menjadi kompos yang bermanfaat.

Pada masa yang sama, penternakan lalat tentera hitam juga memberikan peluang ekonomi dalam bidang perikanan, penternakan dan industri makanan haiwan menerusi penghasilan larvanya yang berkualiti tinggi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi