Diterbitkan pada 15 Jun 2023, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Skim Perubatan MADANI yang bermula pada hari ini di 10 buah daerah dijangkakan bakal memberikan manfaat kepada 700 ribu isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa skim tersebut ditawarkan secara automatik kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi membantu menampung kos rawatan kes akut.

Skim ini memperuntukkan sebanyak RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, warga emas tanpa pasangan sebanyak RM125 dan bujang berjumlah RM75 dan rawatan untuk pesakit luar bagi kes akut percuma merangkumi rawatan bagi penyakit demam, selesema, cirit-birit, muntah, terseliuh, sakit kepala, trauma ringan dan penyakit lain.

Tambahnya lagi, penerima manfaat skim tersebut boleh mendapatkan beberapa kali rawatan secara percuma hingga peruntukan bagi setiap isi rumah itu habis.

Walau bagaimanapun, pakej rawatan skim tersebut tidak merangkumi rawatan akut seperti imunisasi rutin, saringan kesihatan, rawatan susulan penyakit tidak berjangkit, rawatan susulan ibu dan anak rutin, perancangan keluarga rutin, perkhidmatan rehabilitasi serta permohonan ubat-ubatan dan suplemen tanpa konsultasi doktor.

Menurut beliau, program rintis skim tersebut bakal bermula pada hari ini hingga 31 Disember 2023 di 10 daerah, iaitu Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling Jaya, Selangor, Kuala Lumpur, Kinta, Perak, Timur Laut, Pulau Pinang, Johor Bahru, Johor, Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.

Skim Perubatan MADANI ialah satu daripada inisiatif rintis kerajaan untuk menampung keperluan kesihatan golongan B40 bagi mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut (rawatan pesakit luar kes akut) di klinik pengamal perubatan swasta umum (GP) yang berhampiran, sekali gus mengurangkan kesesakan dan waktu menunggu pesakit di kemudahan kesihatan kerajaan.

Skim Perubatan MADANI ditawarkan secara automatik kepada penerima STR dengan membantu menampung kos rawatan kes akut dan perkhidmatan percuma yang ditawarkan termasuklah konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan akan diberikan di GP kepada penerima manfaat mengikut pakej yang ditentukan.

Tambah beliau, prapendaftaran adalah tidak diperlukan untuk menikmati manfaat Skim Perubatan MADANI bagi penerima STR dan tanggungannya, sebaliknya mereka hanya perlu membawa kad pengenalan semasa mendapatkan rawatan di GP berkenaan.

Kementerian Kesihatan Malaysia melalui ProtectHealth menyasarkan sebanyak 700 GP untuk mendaftar sebagai panel Skim Perubatan MADANI menjelang September 2023.

Katanya, sebanyak empat sesi penerangan dan latihan kepada GP telah dijalankan pada masa ini dan dijangkakan sebanyak 10 sesi lagi akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran GP yang berdaftar untuk skim tersebut.

Maklumat lanjut mengenai Skim Perubatan MADANI termasuklah semakan kelayakan dan senarai klinik panel boleh didapati di laman sesawang ProtectHealth atau boleh menghubungi talian 03-86872525.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi