Diterbitkan pada 15 Jun 2023, 21:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bintulu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) telah menganjurkan Wacana 45 Tahun BDA yang bertajuk “Kelestarian Alam Sekitar Pemangkin Bandar Makmur” pada 12 Jun lalu di Auditorium Perpustakaan Awam, BDA.

Program yang diadakan sepanjang Karnival Intelek 2023 berlangsung bermula 12 Jun 2023 hingga 18 Jun 2023.

Wacana ini dirasmikan oleh Penasihat Pembangunan Jepak Jaya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N67 Jepak, Yang Berhormat (YB) Datuk Haji Talip Zulpilip.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa menyambut baik dan menyokong segala usaha yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat di Sarawak, khususnya di Bintulu.

Syabas dan tahniah kepada DBP Cawangan Sarawak, BDA, Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu dan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu kerana menjadi rakan kerjasama strategik dalam penganjuran Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak.

Penasihat Pembangunan Jepak Jaya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N67 Jepak, YB Datuk Haji Talip Zulpilip ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Wacana 45 Tahun BDA menampilkan sebanyak tiga orang ahli panel, iaitu Pengurus Seksyen Kesihatan Persekitaran, Encik Gan Chung Yuek, Pengurus Seksyen Keselamatan dan Kesihatan, Puan Lydia Soloma Jalong, Pengurus Seksyen Penguatkuasaan dan Kesihatan Awam, Encik Awangku Mohd Sharifuddin Awangku Ahmad, manakala Penolong Pegawai Penguatkuasaan, Encik Mohamad Daud Ahmad bertindak selaku moderator.

Tirai perkongsian dimulakan oleh Encik Awangku Mohd Sharifuddin Awangku Ahmad merangkap pengurus program Bintulu Car Free Morning (CFM) yang berkongsikan tentang CFM sebagai program inisiatif hijau anjuran BDA untuk mengurangkan pelepasan asap karbon dioksida di samping memberikan ruang interaksi sosial kepada warga kota di Bintulu untuk mengamalkan gaya hidup sihat serta menjaga alam sekitar.

“Bagi memastikan kelestarian alam sekitar dapat dipulihara, inisiatif Kerajaan Sarawak melalui Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) telah menganjurkan The Premier of Sarawak Environmental Awards (PSEA) secara tahunan untuk mengiktiraf dan menggalakkan semua sektor dan industri mengamalkan pengurusan alam sekitar yang baik dan secara konsisten,” kata Puan Lydia Soloma Jalong ketika berkongsikan pandangannya dalam wacana tersebut.

Antara inisiatif lain yang dilaksanakan termasuklah program Back to Nature, pelan penghasilan baja organik, program penanaman pokok, program Neighbourhood Cares dan program komuniti alam sekitar bagi menggalakkan serta memupuk komuniti untuk menyayangi alam sekitar.

Pada masa yang sama, Encik Gan Chun Yuek juga menyokong agar semua pihak, terutamanya masyarakat di Bintulu bersama-sama berganding bahu untuk merealisasikan segala usaha dan program yang diperkenalkan serta dipromosikan oleh BDA ke arah mencapai kelestarian alam sekitar.

Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai turut menyatakan bahawa kerjasama erat yang terjalin antara DBP dengan BDA merupakan indikator untuk mengadakan lebih banyak program yang berimpak tinggi dan memberikan nilai kepada masyarakat.

Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Sebanyak 31 program telah dirangkumkan dalam Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak, misalnya Bimbingan Penulisan Kreatif, Taklimat Buku dan Majalah, Pertandingan Deklamasi Puisi, Pertandingan Penglipur Lara Moden Sekolah Menengah, Pertandingan Pantas Jawi Sekolah Rendah, Pertandingan Teka Silang Kata Sekolah Menengah, pameran dan jualan buku DBP, Bicara Buku dan program Santai Bersama-sama Penulis Tempatan.

Sesi bergambar bersama-sama tetamu kehormat dan para peserta program Wacana 45 Tahun BDA.

Wacana ini merupakan satu daripada aktiviti dalam Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak yang diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun BDA ke-45, DBP ke-67 dan 60 Tahun Sarawak Merdeka yang bermula pada 12 Jun 2023 hingga 18 Jun 2023 .

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu, YBhg. Datu Haji Muhamad Yakup Kari.

Kredit gambar: Encik Norfazrie Isquandy Nurol

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi