21 Mei 2023, 17:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Lawatan kerja Menteri Komunikasi dan Digital, Yang Berhormat (YB) Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil di Sarawak bermula 19 Mei 2023 bagi memperkukuh kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan Kerajaan Negeri Sarawak serta menzahirkan komitmen bagi menambah baik capaian Internet dan fasiliti telekomunikasi sekali gus merapatkan jurang digital di negeri berkenaan.

“Bagi menangani cabaran keselamatan siber, kerjasama pada peringkat antarabangsa melalui perkongsian maklumat dan pendekatan praktikal aspek perundangan dan kesedaran adalah sangat penting,” ucap YB Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dalam Persidangan Keselamatan Siber Asia Pasifik (ASPEC) 2023 di Hotel Pullman, Kuching anjuran Institut Pengurusan Sarawak (MASA) dan Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS).

Pada masa yang sama, beliau turut merasmikan Majlis Sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi (WTISD) 2023 yang bertemakan “Memperkasakan Masyarakat melalui Teknologi Maklumat dan Digital” di Plaza Merdeka, Kuching.

“Komitmen kerajaan sangat diperlukan untuk memperkasakan masyarakat menerusi tranformasi digital seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI,” tegas beliau dalam ucapan perasmian tersebut.

Semasa lawatan beliau selama tiga hari itu, beliau berpeluang meluangkan masa menyantuni kira-kira 100 orang ketua kaum dan pemimpin masyarakat serta golongan kurang berkemampuan dalam program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) dan Kita MADANI anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Sarawak.

Program yang dilaksanakan itu dirangka bagi mendekati rakyat pada semua peringkat selain mempromosikan dasar kerajaan serta konsep Malaysia MADANI melalui pendekatan hiburan bermaklumat.

Ketika lawatan beliau di menara telekomunikasi Kampung Trombol, Kuching, beliau memberikan jaminan untuk meneliti bentuk tindakan dan usaha bersama menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerajaan negeri dan syarikat telekomunikasi bagi menyelesaikan masalah naked tower yang merupakan menara satelit tanpa peralatan telekomunikasi.

Turut hadir dalam sesi lawatan tersebut ialah Ketua Setiausaha KKD, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa bersama-sama wakil Kerajaan Negeri Sarawak, ketua jabatan dan agensi di bawah KKD termasuklah SKMM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.