Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSongkhla – Rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke Thailand disarankan agar membeli insurans seperti insurans wajib, insurans sukarela dan insurans perjalanan yang ditawarkan sebagai persediaan awal sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau kemungkinan yang tidak diingini semasa berada di negara tersebut seperti kemasukan ke wad, kemalangan, sakit secara tiba-tiba ataupun dijangkiti penyakit COVID-19.
Memandangkan kos rawatan di hospital swasta di Thailand berkemungkinan boleh mencecah beberapa kali ganda lebih tinggi daripada kos rawatan di Malaysia, maka pemegang insurans akan mendapat perlindungan risiko dalam menghadapi sebarang kemungkinan tersebut.
Demikian pemakluman yang disampaikan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand, Encik Muhammad Ridzuan Abu Yazid selepas mengiringi Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang berkenan berangkat menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada dua masjid di wilayah Songkhla, Thailand yang masing-masing berjumlah RM1000, baru-baru ini.

Baginda disambut mesra oleh Datuk Bandar Songkhla, Wanchai Parinyasiri, Timbalan Datuk Bandar Songkhla, Wichakorn Buehom dan para pegawai masjid ketika persinggahan pertama baginda di Masjid Asasul Islam.
Seterusnya, baginda juga berkenan berangkat ke Masjid Assalam dan wakil masjid berkenaan, Kittipong Saengbuamad merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada baginda dan menyatakan bahawa sumbangan zakat MAIPs yang disumbangkan itu akan digunakan dengan sebaik-baiknya.

Terdahulu, baginda berdua yang berangkat tiba di Songkhla City Park berdekatan dengan Pantai Samila turut berkenan mengadakan lawatan diiringi oleh Presiden Majlis Pelancongan Songkhla, Chanin Sakarin buat julung-julung kalinya ke Muzium Ban Nakorn Nai yang diasaskan oleh Krachang Jaruprukphan yang telah menghidupkan semula bandar lama Songkhla.

Muzium tersebut mempamerkan barangan antik yang amat berharga seperti perabot antik lama, kayu, meja dan pinggan mangkuk daripada zaman purba China serta mempamerkan potret Raja Bhumibol Adulyadej.