Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pelajar Frontier International Secondary School (FISS) berpeluang merasai pengalaman dalam penyiasatan kejadian jenayah (CSI) secara langsung menerusi program CSI yang diadakan di sekolah sebagai satu usaha menggalakkan pelajar meminati bidang sains.
Dalam program berkenaan, para peserta didedahkan dengan pengenalan tentang sains forensik oleh Pensyarah Universiti, Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBrs. Profesor Madya Dr. Khairul Osman diikuti dengan pengenalan identifikasi cap jari yang merupakan ciri penting dalam penyiasatan sains forensik.

Semasa program tersebut berlangsung, peserta diperlihatkan tentang cara untuk mencari cap jari pendam (latent) yang boleh diperoleh daripada tempat kejadian jenayah dengan menggunakan serbuk hitam dan berus serta pengewapan sianoakrilat.
Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan penyiasat dan berpeluang untuk melihat contoh tempat kejadian jenayah yang telah disediakan dan seterusnya perlu mengesan cap jari pendam pada bahan bukti yang telah dibekalkan dengan menggunakan serbuk hitam dan pengewapan sianoakrilat.

Pada masa yang sama, peserta juga dapat menambah ilmu pengetahuan tentang proses penimbulan cap jari dengan menggunakan sianoakrilat yang perlu dilakukan dalam kebuk wasap atau sebuah bekas plastik tertutup kerana sianoakrilat adalah berbahaya kepada kesihatan, berbau busuk dan boleh memedihkan mata.


Sepanjang program ini berlangsung selama tiga jam, peserta dilihat mampu untuk membuat deduksi berkenaan dengan penjenayah yang terlibat dalam kes yang diberikan sekali gus membuktikan bahawa program yang dilaksanakan ini sangat bermanfaat dalam membantu mewujudkan generasi muda yang suka akan bidang sains.

Turut hadir dalam program tersebut ialah barisan guru FISS; Pensyarah Universiti, Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan, UKM, YBrs. Dr. Gina Francesca Gabriel; Pensyarah Perubatan, Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan, UKM, YBrs Dr. Noor Hazfalinda Hamzah; Pegawai Sains, Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan, UKM, ChM Puan Rogayah Abu Hassan; dan dua orang pelajar pascasiswazah, Program Sains Forensik, Fakulti Sains Kesihatan, UKM, iaitu Puan Suvitraa Paramasivam dan Puan Naadiah Ahmad Mazlani.