Diterbitkan pada 17 April 2023, 15:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelajar Frontier International Secondary School (FISS) berpeluang merasai pengalaman dalam penyiasatan kejadian jenayah (CSI) secara langsung menerusi program CSI yang diadakan di sekolah sebagai satu usaha menggalakkan pelajar meminati bidang sains.

Dalam program berkenaan, para peserta didedahkan dengan pengenalan tentang sains forensik oleh Pensyarah Universiti, Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBrs. Profesor Madya Dr. Khairul Osman diikuti dengan pengenalan identifikasi cap jari yang merupakan ciri penting dalam penyiasatan sains forensik.

Pensyarah Universiti, Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Khairul Osman sedang memberikan maklumat berkenaan dengan pengenalan sains forensik dan proses identifikasi cap jari.

Semasa program tersebut berlangsung, peserta diperlihatkan tentang cara untuk mencari cap jari pendam (latent) yang boleh diperoleh daripada tempat kejadian jenayah dengan menggunakan serbuk hitam dan berus serta pengewapan sianoakrilat.

Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan penyiasat dan berpeluang untuk melihat contoh tempat kejadian jenayah yang telah disediakan dan seterusnya perlu mengesan cap jari pendam pada bahan bukti yang telah dibekalkan dengan menggunakan serbuk hitam dan pengewapan sianoakrilat.

Peserta program perlu menentukan penjenayah yang terlibat dalam kes ini dengan memahami kejadian jenayah yang berlaku berserta bahan bukti yang diperoleh daripada tempat kejadian.

Pada masa yang sama, peserta juga dapat menambah ilmu pengetahuan tentang proses penimbulan cap jari dengan menggunakan sianoakrilat yang perlu dilakukan dalam kebuk wasap atau sebuah bekas plastik tertutup kerana sianoakrilat adalah berbahaya kepada kesihatan, berbau busuk dan boleh memedihkan mata.

Pengewapan sianoakrilat dilakukan di dalam bekas plastik tertutup.

 

Gam sianoakrilat diletakkan ke dalam cawan aluminium dan haba perlu dibekalkan untuk memanaskan gam bagi membentuk wap putih yang akan melekat pada cap jari pendam yang terdapat pada tin minuman aluminium.

Sepanjang program ini berlangsung selama tiga jam, peserta dilihat mampu untuk membuat deduksi berkenaan dengan penjenayah yang terlibat dalam kes yang diberikan sekali gus membuktikan bahawa program yang dilaksanakan ini sangat bermanfaat dalam membantu mewujudkan generasi muda yang suka akan bidang sains.

Barisan pensyarah, pegawai sains dan pelajar pascasiswazah, Program Sains Forensik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan guru FISS yang terlibat dalam menjayakan program CSI.

Turut hadir dalam program tersebut ialah barisan guru FISS; Pensyarah Universiti, Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan, UKM, YBrs. Dr. Gina Francesca Gabriel; Pensyarah Perubatan, Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan, UKM, YBrs Dr. Noor Hazfalinda Hamzah; Pegawai Sains, Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan, UKM, ChM Puan Rogayah Abu Hassan; dan dua orang pelajar pascasiswazah, Program Sains Forensik, Fakulti Sains Kesihatan, UKM, iaitu Puan Suvitraa Paramasivam dan Puan Naadiah Ahmad Mazlani.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi