Diterbitkan pada 11 April 2023, 15:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Tenaga (ST) tidak mempunyai sebarang kuasa untuk bertindak sendiri bagi meningkatkan kuota atau membuat perubahan kepada sebarang hala tuju dasar berkaitan dengan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).

ST menjelaskan aspek berkaitan dengan hala tuju dasar serta arahan dan kuasa menambah kuota kepada 800 megawatt (MW) daripada 600 MW adalah di bawah kuasa Menteri Sumber Asli, Tenaga dan Perubahan Iklim, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menteri Sumber Asli, Tenaga dan Perubahan Iklim telah mengumumkannya ketika berucap pada 9 Mac yang lalu semasa pelancaran Malaysia Energy Transition Outlook selain mengumumkan garis masa bagi pengambilan kuota tambahan 800 MW adalah seawal akhir tahun ini atau hingga peruntukan penuh kuota berdasarkan permohonan yang berjaya.

Kenyataan ST berhubung dengan hal ini adalah sebagai maklum balas terhadap pengumuman garis panduan terkini mengenai CGPP pada 7 April 2023 dan laporan media pada 8 April 2023.

Kenyataan tersebut juga memaklumkan bahawa terdapat aspek penambahbaikan yang selanjutnya berkaitan dengan garis panduan kepada ST untuk dilaksanakan susulan pengumuman kuota oleh menteri.

Berpandukan penambahbaikan tersebut, lanjutan tempoh serahan permohonan adalah untuk memberikan masa yang mencukupi bagi pengeluar tenaga solar dan pengguna korporat memahami garis panduan terkini serta membuat apa-apa perubahan yang sewajarnya dalam permohonan masing-masing.

Pada masa yang sama, ST juga mengingatkan kepada pemohon bahawa permohonan mereka hanya boleh diterima pada atau selepas pukul 10.00 pagi pada 9 Mei 2023 dan bukan pada waktu sebelumnya, manakala pihak yang tidak mematuhi ketetapan tersebut akan diminta menyerahkan semula permohonan masing-masing sebagaimana yang telah ditetapkan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi